Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah mengadakan satu program iaitu Kursus Perancangan Strategik 2021 yang dijalankan menggunakan platform Google Meet dan dihadiri oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Sains Kesihatan, Koordinator MASMED dan ICAN serta penasihat persatuan dalaman dan 4 orang wakil daripada setiap persatuan dibawah Fakulti Sains Kesihatan. Seperti yang semua sedia maklum, terdapat 10 persatuan di bawah Fakulti Sains Kesihatan (FSK) yang terdiri daripada Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Kelab LENSA, dan 8 persatuan dibawah kursus pengajian masing-masing.
Program ini dianjurkan oleh Fakulti Sains Kesihatan dan dilaksanakan oleh Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan (SMF FSK) dengan tujuan merancang dan menyusun takwim tahunan Fakulti Sains Kesihatan berdasarkan Key Performance Indicator (KPI) yang disediakan untuk mewujudkan sebuah perancangan program yang sistematik dan efisien bagi semua organisasi di bawah Fakulti Sains Kesihatan. Oleh itu, program yang dirancang akan dinilai dan ditambah baik supaya dapat memanfaatkan semua pelajar selain memantapkan nilai-nilai tambahan yang perlu ada sebagai mahasiswa. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk merapatkan ukhuwah yang bakal terjalin sesama organisasi dalam menjayakan program-program yang akan dijalankan dan dapat membantu dalam mewujudkan persefahaman antara persatuan untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang beretika dan professional dalam menjalankan tugas masing-masing.
Seramai 40 orang Majlis Tertinggi persatuan dalaman Fakulti Sains Kesihatan telah turut serta dalam memeriahkan program ini disamping 13 orang ahli jawatankuasa pelaksana program yang merupakan ahli Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan sesi 2020/2021 dan program ini juga telah dipengerusikan oleh Encik Romizan Bin Jathin, selaku Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Sains Kesihatan selain penasihat-penasihat persatuan dalaman yang juga turut serta. Program ini telah berjalan dengan lancar dengan pengisian pembentangan perancangan program dari 10 persatuan di bawah Fakulti Sains Kesihatan bagi menghasilkan sebuah takwim yang teratur dan telah dijalankan secara atas talian menggunakan platform Google Meet disebabkan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara kita. Namun begitu, musibah pandemik Covid-19 ini yang terjadi ini tidak akan dapat menjejaskan kelangsungan program yang akan dijalankan malah, hal ini akan membantu dalam melatih barisan kepimpinan pelajar untuk menjadi lebih kreatif dalam membuat keputusan dan merangka program yang bermanfaat di samping usaha mahasiswa untuk menerapkan norma baharu di dalam kehidupan sesuai dengan pendekatan yang diterapkan oleh kerajaan agar setanding dengan keberkesanan program secara bersemuka.