“Kursus Penyembelihan Halal dan Program Khidmat Masyarakat bersama Anak-anak Yatim dan Miskin”

SABAK BERNAM: Satu program penyembelihan halal dan aktiviti khidmat masyarakat bersama anak-anak yatim telah diadakan pada 14 Januari 2023 (Sabtu) lalu yang di anjurkan oleh pelajar Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan dan pelajar Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan Keusahawanan. Manakala, pensyarah yang terlibat ialah Prof. Madya Ts. Dr. Sabaianah Binti Bachok dan Prof. Dr. Madya Chemah Binti Tambik Chik.

Program turut dihadiri oleh para pensyarah lain daripada Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan bagi memeriahkan lagi majlis tersebut. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memenuhi keperluan kursus HTF677 mengenai penyembelihan halal dalam Islam disamping memberikan khidmat masyarakat kepada komuniti. Program yang dilaksanakan telah memberikan pengetahuan kepada pelajar mengenai penyembelihan Halal melalui kursus praktikal yang dipimpin oleh seorang penceramah jemputan atau tetamu kehormat dari UiTM Jengka, Pahang iaitu Ustaz Muhd Azlan Bin Md Aris, Penolong Pendaftar Kanan Unit Hal Ehwal Islam UiTM, UiTM Kampus Jengka Pahang.

Kesemua peserta mula berkumpul di Perhentian bus yang telah ditetapkan seawal jam 7: 00 pagi. Para peserta dan pensyarah bergerak ke lokasi bersama-sama dengan perjalanan selama 2 jam. Program ini telah berlangsung bermula daripada jam 10:00 pagi hingga 4:00 petang. Program telah dihadiri oleh kesemua para pelajar yang terlibat iaitu seramai 100 orang bagi menjayakan program yang dianjurkan. Sambutan yang amat menggalakan yang diterima oleh para peserta, pensyarah dan anak- anak yatim bagi sama- sama memeriahkan program ini. Ustaz Muhd Azlan Bin Md Aris yang merupakan selaku penceramah jemputan telah mendedahkan cara penyembelihan halal mengikut Syariah Islam dan memimpin para pelajar dalam mempraktikkan penyembelihan halal.

Oleh itu, para pelajar dapat merasai sendiri pengalaman dalam menyembelih ayam. Ayam yang telah dipotong pula diagihkan untuk dimasak oleh para pelajar dan para pensyarah yang turut membantu. Secara ringkas dan keseluruhannya, antara aktiviti yang telah dijalankan pada hari tersebut adalah dimulai dengan taklimat ringkas mengenai penyembelihan halal, kemudian diteruskan dengan aktiviti sukaneka bersama anak-anak yatim, aktiviti memasak, bergotong- royong dan acara penutupan dengan memberikan saguhati kepada pemenang acara sukaneka dan hadiah pemberian para pelajar kepada anak-anak yang diraikan.

Program ini diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada pihak tuan rumah anak yatim dan kepada penceramah jemputan. Program diakhiri dengan makan tengahari bersama anak-anak yatim dan sesi bergambar sebelum program bersurai pada jam 4 petang. Sekalung tahniah diucapkan kepada Prof. Madya Ts Dr Sabaianah binti Bachok selaku Pengarah dan Penasihat Program dan semua ahli jawatankuasa pelaksana program yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan dan melaksanakan program yang cukup bermakna ini.

Diharapkan agar program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang kerana ia memberi impak yang baik dan besar kepada semua pihak yang terlibat. Kesimpulannya, program ini merupakan satu medium interaksi dan perkongsian dan keterlibatan warga universiti ke dalam masyarakat untuk melahirkan ummah dan menjana perkembangan masyarakat dinamik dan mampan.