Kursus Pengurusan Organisasi MELTECH 2.0

Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah mengadakan Kursus Pengurusan Organisasi MELTECH 2.0. Program ini telah dilaksanakan melalui aplikasi ‘Google Meet’ dan disertai oleh dua orang penasihat MELTECH, 9 orang Majlis Tertinggi serta 29 orang EXCO. Program ini berlangsung selama 1 jam 30 minit.

Objektif utama program ini adalah untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan pengurusan program semasa pembelajaran secara atas talian kepada semua EXCO. Selain itu, program ini dianjurkan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli jawatankuasa.

Program dimulakan dengan sesi penerangan maklumat yang terbahagi kepada beberapa slot iaitu penerangan kertas kerja berbajet, kertas kerja tidak berbajet, proses penghantaran kertas kerja, surat kepada rektor, permohonan borang honorarium dan tatacara memohon e-Cert FSK yang disampaikan oleh barisan Majlis Tertinggi MELTECH. Setelah sesi penerangan selesai, sesi soal jawab bersama EXCO diteruskan oleh penasihat dan seorang wakil Majlis Tertinggi MELTECH.

Melalui program ini, setiap EXCO akan lebih peka dan faham dalam menguruskan sesuatu program dengan menyesuaikan diri mengikut norma baharu. Kesimpulannya, keseluruhan program ini berjalan dengan lancar dan baik. Diharapkan program ini dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan setiap ahli jawatankuasa dalam menjayakan program – program yang akan datang dengan cemerlang.