PUNCAK ALAM, 9 Mei 2024 – Program Kursus Pengurusan Organisasi Dalaman PHYTAS 2024 telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS), Fakulti Sains Kesihatan UiTM Kampus Puncak Alam sesi 2023/2024. Program ini telah berlangsung secara atas talian dengan menggunakan Google Meet sebagai medium pelaksanaan program. Kursus ini dilaksanakan pada tanggal 20 April 2024 (Sabtu) yang bermula pada pukul 9.00 pagi sehingga 1.00 petang. Untuk makluman, program ini telah disertai oleh 22 orang exco Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) sesi 2023/2024 dan juga seramai 8 orang ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus demi menjayakan program ini. Program ini melibatkan medium berbentuk ceramah dan bimbingan yang diberikan oleh majlis tertinggi Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) sesi 2023/2024.
Objektif utama program ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan kepada peserta tentang format pengendalian program bagi meningkatkan keberkesanan organisasi dan memperkukuhkan kemahiran exco dan ahli organisasi dalam merancang, melaksanakan, dan menilai program-program yang dijalankan. Selain itu, idea pelaksanaan Kursus Pengurusan Organisasi Dalaman PHYTAS 2024 ini dijalankan bagi melahirkan pelajar yang mahir dalam format pelaksanaan dan pengendalian program. Harapan kami dengan pelaksanaan program ini dapat memupuk nilai kepimpinan yang lebih sistematik dan teratur dalam mengendalikan program sekaligus membantu dalam menyelaraskan langkah-langkah pengurusan di dalam organisasi serta mengurangkan kekeliruan.
Program dimulakan dengan sesi pendaftaran pada jam 9.00 pagi. Pada jam 9.35 pagi, program dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Wawasan Setia Warga UiTM serta bacaan doa dan diteruskan dengan ucapan pengarah program serta ucapan perasmian oleh Encik Naim Faiz Bin Ahmad Imran selaku penasihat 1 Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) sesi 2023/2024. Program diteruskan lagi dengan sesi pembentangan format pengendalian program oleh majlis tertinggi Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS). Sesi soal jawab diteruskan setelah selesai sesi perkongsian bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh peserta. Majlis penutupan program telah diadakan tepat jam 1.00 petang dengan pengisian sesi fotografi, nyanyian lagu Uitm Dihatiku dan bacaan doa Rabitah.
Secara keseluruhan, program ini telah memberikan impak positif kepada para peserta dan ahli jawatankuasa sepanjang program berlangsung dalam merealisasikan objektif dan matlamat program. Pihak Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) berharap agar program ini dapat membantu exco-exco Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) mempersiapkan diri dalam mengendalikan program yang akan berlangsung pada masa hadapan dengan jayanya. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini. Sekian, terima kasih.