Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor, 4 April 2024: Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan (SMF FSK) Sesi 2023/2024 telah mengadakan satu program iaitu Kursus Pengurusan Organisasi 2024 yang dijalankan menggunakan platform Microsoft Teams dan dihadiri oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Sains Kesihatan, Penasihat 2 Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan serta wakil daripada Majlis Tertinggi bagi setiap persatuan dibawah Fakulti Sains Kesihatan. Terdapat 10 persatuan di bawah Fakulti Sains Kesihatan (FSK) yang terdiri daripada Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) sesi 2023/2024, Kelab LENSA, serta 8 persatuan dalaman iaitu NUSA, MELTECH, EHSAn, OTSA, PHYTAS, MISA, OPTIMIST, dan DiETS.
Program ini dianjurkan oleh SMF FSK sesi 2023/2024 dengan tujuan untuk memberi pendedahan mengenai pengurusan yang betul dan strategik dalam struktur organisasi di Fakulti Sains Kesihatan. Oleh itu, program-program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik, selaras dan teratur. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk merapatkan ukhwah yang bakal terjalin sesama organisasi dalam menjayakan program-program yang akan dijalankan dan dapat membantu dalam mewujudkan persefahaman antara persatuan bagi melahirkan pemimpin-pemimpin yang beretika dan profesional dalam menjalankan tugas masing-masing.
Seramai 108 orang Majlis Tertinggi persatuan dalaman dan ahli Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan sesi 2023/2024 telah turut serta dalam memeriahkan program ini disamping 14 orang ahli jawatankuasa pelaksana program yang merupakan ahli Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan sesi 2023/2024. Program ini telah dirasmikan oleh Encik Romizan Bin Jathin, selaku Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Sains Kesihatan. Program ini telah berjalan dengan lancar dengan pembentangan mengenai kertas kerja, surat-surat untuk kegunaan semasa program, borang bendahari dan penerangan mengenai biro program dan protokol yang akan digunakan ketika program secara atas talian ataupun bersemuka.
Pelaksanaan program seperti ini dapat membantu dalam melatih barisan kepimpinan pelajar untuk menjadi lebih kreatif dalam membuat keputusan dan merangka program-program yang bermanfaat. Pihak penganjur berharap agar program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang kerana program seperti ini terbukti memberi impak yang positif kepada para pelajar di Fakulti Sains Kesihatan terutama dalam bidang kepimpinan. Objektif yang dirangka bagi program ini juga telah berjaya dicapai dan diharap ia akan dapat memberi faedah kepada semua peserta yang hadir dan mendapat ilmu yang diberikan.