UiTM Puncak Alam, 3 April 2021 – Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan telah menganjurkan program Kursus Pengurusan Organisasi 2021 yang merupakan program di peringkat fakulti. Program ini adalah sebuah program tahunan yang wajib dijalankan setiap tahun. Sedikit perbezaan dilakukan pada kali ini, dimana program ini terpaksa dijalankan secara atas talian akibat dari pandemik yang telah melanda negara ini. Secara amnya, program ini bertujuan untuk menyampaikan ilmu pengetahuan berkaitan dengan cara pengurusan organisasi yang strategik dan betul.
Program ini berlangsung pada jam 8.40 pagi dan bersurai pada jam 2.00 petang. Seramai 119 orang mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan terlibat bagi menjayakan program ini. Ianya terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), wakil pelajar terutama dalam kalangan majlis tertinggi dari 9 persatuan dalaman dan ahli Sekretariat Mahasiswa Fakulti sendiri. Program ini juga turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Sains Kesihatan, Encik Romizan Bin Jathin selaku perasmi program.
Antara objektif program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar berkaitan dengan kaedah pengurusan dan perancangan organisasi yang betul. Seterusnya, program ini juga dapat melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif, berkarisma, serta berkemahiran dalam mengendalikan sesebuah program dengan cekap. Selain itu, program ini juga dapat membantu menyelaraskan segala sistem pengurusan, format surat menyurat dan cara kerja di Fakulti Sains Kesihatan pada tahun ini bagi mengelakkan dari berlakunya sebarang permasalahan di kemudian hari.