Kursus Pemantapan Kepimpinan Dan Pengurusan Organisasi FPP: Pemangkin Kepimpinan Mahasiswa

Selaras dengan cita-cita Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk menjadi sebuah universiti yang bertaraf dunia, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) telah merealisasikan program yang dapat mendidik dan melatih mahasiswa supaya menjadi golongan yang mempunyai sifat kepimpinan yang mapan dalam sesebuah organisasi. Oleh itu, pihak HEP FPP telah menganjurkan program Kursus Pemantapan Kepimpinan dan Pengurusan Organisasi  yang telah berlangsung pada 15 hingga 17 Mac 2023 di Hotel Seri Malaysia, Ipoh, Perak. Program ini disertai oleh seramai 70 orang pelajar yang terdiri daripada ahli Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) dan wakil pemimpin-pemimpin persatuan dan kelab dalaman FPP, beserta tiga (3) orang pensyarah pengiring dan dua (2) orang fasilitator.

Penganjuran program ini adalah bertujuan untuk melahirkan barisan pelapis pemimpin muda yang seimbang dari pelbagai aspek seperti disiplin ilmu, pembangunan minda, spiritual, emosi dan sahsiah. Perkara ini selaras dengan hasrat memupuk dan membangunkan kualiti kepimpinan mahasiswa. Selain itu, kursus ini juga dapat melatih peserta untuk bekerjasama secara professional  dalam sesebuah organisasi; serta memupuk semangat setia kawan dalam kalangan mereka khususnya dalam pelaksanaan sesuatu program.

Antara pengisian-pengisian program ini adalah penyediaan kertas kerja aktiviti dan belanjawan persatuan dan kelab, pengurusan dan protokol majlis rasmi, pengisian kaunseling kepimpinan, sesi kepimpinan dalam nilai-nilai UiTM iaitu ESI-IDART serta tatacara komunikasi dan digital mengikut garis panduan UiTM. Selain itu, program ini juga diselangi dengan aktiviti-aktiviti Latihan dalam Kumpulan (LDK) yang bertujuan untuk merapatkan hubungan antara peserta dan mengasah kemahiran mereka dalam penyelesaian masalah yang diberikan.

Kesimpulannya, program ini telah memberi impak yang positif kepada semua pihak yang terlibat.  Daya kepimpinan yang berkualiti dilihat semakin menonjol di kalangan peserta.  Penganjuran program seperti ini amat digalakkan bagi memupuk dan menyuburkan lagi ciri-ciri kepimpinan madani bagi mahasiswa.