19 Mei 2024 – Pusat Pengajian Kejururawatan, Fakulti Sains Kesihatan UiTM Kampus Puncak Alam telah menganjurkan satu program yang bertajuk Kursus Penyalahgunaan Dadah Terkawal”. Program ini dijalankan bagi memenuhi keperluan Pengajaran Kolaboratif kod matapelajaran Pharmacology and Biochemistry in Nursing (NRS422) bersama Industri Luar.
Program dimulakam pada jam 11 pagi sehingga jam 1 petang di Dewan Seminar di Aras 8 Bangunan FSK6. Penceramah jemputan adalah Puan Norliza binti Komeng dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Manjung. Beliau merupakan Ketua Unit Pencegahan dan Kesedaran Awam AADK Daerah Manjung, Perak. Seramai 50 orang peserta yang terlibat dalam program ini yang terdiri daripada mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan semester 2 dan staf akademik Pusat Pengajian Kejururawatan.
Puan Norliza Komeng, seorang pakar dalam bidang pencegahan penyalahgunaan dadah, menyampaikan maklumat yang mendalam tentang kesan negatif penyalahgunaan dadah terhadap individu dan masyarakat secara keseluruhan. Beliau juga memberi nasihat serta berkongsi tentang strategi pencegahan dan intervensi yang efektif dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah ini terutamanya di kalangan remaja dan pelajar. Yang menarik dari program ini adalah pendekatan kolaboratif yang berbeza dari pendekatan pengajaran konvensional, kolaborasi ini dapat memberikan sudut pandang yang berbeza dalam memahami dan menangani permasalahan penyalahgunaan dadah.
Ketua Pusat Pengajian iaitu Dr Siti Khuzaimah sangat gembira dan berbangga dengan kolaborasi ini yang membantu para mahasiswa mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang kesan buruk penyalahgunaan dadah serta langkah-langkah pencegahan untuk mengatasinya. Acara ini juga memberikan kesempatan bagi peserta untuk bertanya dan berdiskusi tentang isu-isu berkaitan dadah. Pertukaran idea dan pendapat antara peserta seminar menciptakan suasana belajar yang dinamik dan menyeronokkan. Program ini juga diselangi dengan sesi soal jawab yang mana Puan Norliza memberikan cenderhati kepada pelajar yang aktif bertanya dan menjawab soalan.
Hasil dari program ini, mahasiswa tidak hanya mendapat pengetahuan baharu, tetapi juga sebagai wadah untuk membangun jati diri mereka yang peduli dan komited dalam memerangi penyalahgunaan dadah. Acara ini menandai langkah awal yang penting dalam mengubah paradigma dalam pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah, dengan harapan akan terjadi perubahan positif yang signifikan dalam diri mahasiswa serta menggunakan ilmu tersebut dalam mendidik masyarakat secara amnya. Program diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata kepada Puan Norliza serta bergambar bersama.