Kursus Kejurulatihan FAM ‘Lesen D’ andjuran NFDP Sarawak dengan kerjasama UiTM Cawangan Sarawak

Football Association of Malaysia (FAM), Football Association of Sarawak (FAS) dengan usaha bahagian National Football Development Programme (NFDP) Sarawak serta Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Cawangan Sarawak telah menganjurkan kursus kejurulatihan FAM “Lesen D” selama  5 hari bermula 28 Januari 2019 hingga 1 Februari 2019 bertempat di Padang Bolasepak, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan 2.

Antara lain tujuan penganjuran kursus ini adalah untuk membuka peluang lebih luas  khasnya kepada jurulatih bola sepak di Sarawak untuk menimba ilmu serta mendapatkan sijil yang diperakui sah sebagai jurulatih. Selain itu, matlamat kursus ini adalah untuk melahirkan lebih ramai jurulatih berkualiti untuk menerajui sukan bola sepak khasnya di Sarawak dan Malaysia umumnya.

Seramai 23 orang bakal jurulatih menyertai kursus edisi ke-4 di UiTM Cawangan Sarawak, Kota Samarahan yang julung kalinya dianjurkan oleh UiTM Cawangan  Sarawak di Kampus Samarahan 2.

Kursus ini turut disertai oleh seorang staf UiTM Cawangan Sarawal iaitu Encik Luke Nikol beserta 11 orang pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Sarawak. Antara peserta luar yang turut serta adalah  11 orang peserta dari pelbagai agensi.

Kursus ini memerlukan komitmen peserta secara menyeluruh kerana melibatkan sesi teori dan praktikal yang berterusan.  Selain itu, penilaian terhadap teori dan praktikal peserta juga diambil kira untuk memastikan mereka layak atau tidak untuk diiktiraf sebagai jurulatih “Lesen D” oleh FAM (Football Association of Malaysia).

Fasilitator FAM yang dilantik sebagai ketua jurulatih ialah Encik Nadarajan Chellamuthu dan pembantu jurulatih iaitu Raja Isa Raja Akram Shah. Program seperti ini dipercayai memberi ruang kepada para peserta untuk berkongsi ilmu dan menambah jaringan kerjasama dalam kalangan jurulatih yang ada di Sarawak demi memastikan kelangsungan terhadap kecemerlangan sukan bola sepak di Sarawak.

Keperluan masa kini bagi melahirkan lebih ramai jurulatih berbakat serta mempunyai lesen jurulatih yang diiktiraf dan sah sangat meruncing selari dengan perkembangan sukan di masa kini tidak dapat dinafikan lagi.  Pelbagai kejayaan dan pencapaian sukan telah dikecapi oleh para atlit negeri mahupun negara.

Kenyataan ini dapat direalisasikan dengan adanya kerjasama semua pihak dalam memastikan matlamat tersebut dicapai antaranya adalah mengenalpasti bakat dari peringkat akar umbi, meningkatkan kepakaran serta kebolehan jurulatih dalam melatih atlit dan banyak lagi usaha dilakukan secara intensif oleh pihak-pihak tertentu.

UiTM Cawangan Sarawak berhasrat untuk meneruskan lagi Kursus yang serupa dan seumpamanya pada masa akan datang nbagi melahirkan lebih ramai jurulatih yang diiktiraf.

Foto berkaitan:

0
0