Tapah, Perak – Lebih 50 pelajar Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) UiTM Cawangan Perak telah berjaya menyertai Kursus Integriti & Profesionalisme dalam Penguatkuasaan Undang-Undang, yang diadakan pada 5 Ogos 2024 yang lalu. Kursus yang dianjurkan oleh Unit Kokurikulum UiTM Cawangan Perak ini adalah bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang celik perundangan sekaligus memberi pendedahan awal kepada konsep integriti dan profesionalisme yang perlu diaplikasikan dalam kehidupan semua pelajar.
Terdapat tiga (3) slot dalam kursus yang diadakan ini iaitu slot ceramah Akta 174, explorace dan ceramah integriti dan profesionalisme. Kursus ini dimulakan dengan slot perkongsian daripada Penyelaras Jabatan Undang-Undang, Puan Afidah binti Osoman, berkenaan topik Akta 174 yang sangat sinonim dengan para pelajar pada pukul 10:30 pagi. Dalam ceramah yang disampaikan oleh beliau, aspek disiplin diri, tingkah laku, tatatertib dan peraturan asrama antara perkara yang diberi penekanan.
Kursus diteruskan dengan slot aktiviti explorace pada pukul 11:30 pagi untuk menguji kefahaman peserta berkenaan ceramah Akta 174 yang telah disampaikan. Aktiviti explorace ini telah dikendalikan oleh pensyarah Jabatan Undang-Undang UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah. Peserta kursus dibahagikan kepada lapan kumpulan dan mereka perlu melengkapkan soalan yang telah disediakan di dalam bentuk silang kata melalui pencarian klu jawapan di sekitar Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR). Kesungguhan yang ditonjolkan oleh para peserta sangat positif kerana masing-masing bersaing secara sihat untuk memenangi pertandingan aktiviti explorace tersebut.
Sesi terakhir dalam kursus ini adalah sesi perkongsian ilmu oleh YDH ACP Tuan Mohd Fahmi Visuvananthan bin Abdullah, Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Perancangan/Strategik), Ibu Pejabat Kontinjen Perak, pada pukul 2:30 hingga 4:30 petang. YDH Tuan telah menekankan aspek integriti dan profesionalisme yang perlu ada dalam setiap jiwa mahasiswa agar terus membawa nama baik diri dan universiti ke arah yang lebih cemerlang. Tepat pukul 5 petang, kursus diakhiri dengan ucapan penghargaan yang disampaikan oleh Penasihat Hal Ehwal Undang-Undang UiTM Cawangan Perak, Dr. Farihana Abdul Razak, ucapan perasmian daripada Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (TRHEP) UiTM Cawangan Perak, Profesor Madya Sr. Dr. Mohd Azian bin Zaidi. Penyampaian hadiah kepada para pemenang aktiviti explorace dan penyampaian cenderamata kepada penceramah turut diadakan sebelum kursus menutup tirai.
Di saat rakan-rakan yang lain telah pulang bersama keluarga untuk menikmati cuti semester, sebilangan para pelajar SUKSIS UiTM Cawangan Perak telah berkorban masa dan tenaga mereka demi meraih ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan bernilai berkenaan undang-undang. Rata-rata memberikan maklum balas yang sangat cemerlang untuk kesemua slot yang diadakan, membuktikan semangat kesukarelawanan dalam jati diri masing-masing. Syabas dan tahniah diucapkan buat para pelajar SUKSIS yang terlibat dalam menjayakan kursus pada kali ini.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada para penceramah, Puan Afidah Osoman dan YDH ACP Tuan Mohd Fahmi atas kesudian untuk meluangkan masa berkongsi ilmu dan pengalaman berharga kepada para peserta. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada Profesor Madya Sr. Dr. Mohd Zaidi, TRHEP UiTM Cawangan Perak, Dr. Ahmad Zoolhelmi bin Alias, Penolong Rektor UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah, Puan Hadijah Salleh, Encik Mohd Azri Ibrahim dan Encik Muhamad Taufiq bin Mohd Hashim daripada Unit Kokurikulum UiTM Cawangan Perak, atas kesudian untuk menghadiri sesi penutupan kursus ini.
Diharapkan kursus sebegini mampu memberikan impak positif dalam setiap mahasiswa dalam melahirkan masyarakat yang lebih berintegriti dalam amalan kerja seharian, sekaligus terus celik dan cakna tentang perundangan di dalam Malaysia, terutamanya di peringkat universiti. Semoga kursus sebegini juga dapat diteruskan pada masa akan datang, dengan sinergi dan penglibatan pihak universiti yang lebih meluas.
Penulis bersama: Dr Farihana Abdul Razak, Puan Afidah Osoman, Cik Nurul Izzati Md Rashid