BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA, Jun 2024 –Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama Kelab Kecergasan Hospital Jengka telah menganjurkan kursus “First Responder Life Support (FRLS)” yang bertujuan memberi pendedahan secara teori dan praktikal mengenai rawatan kecemasan awal seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR). Program ini telah diadakan di Dewan Tun Teja, Universiti Teknologi Mara, Cawangan Pahang selama 2 hari bermula 11-12 Jun 2024. Seramai 26 pelajar, Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (SR243) semester 2 yang mengambil subjek Pencegahan dan Rawatan Kecederaan Sukan (SPS462) telah mengikuti kursus tersebut.
Sepanjang kursus tersebut, para pelajar didedahkan dengan pengetahuan teori dan demonstrasi oleh tenaga pengajar yang berpengalaman. Pada hari pertama, para pelajar telah didedahkan secara teori dan demonstrasi. Seterusnya pada hari kedua, kursus diteruskan dengan pembelajaran secara praktikal dan ujian. Para pelajar dapat mengendalikan teknik CPR kepada mangsa dengan cara yang betul dan simulasi merawat mangsa di tempat kemalangan.
Kesimpulannya, program seperti ini dapat memudahkan para pelajar memahami teknik yang betul dan berkesan serta memberi kesedaran tentang kepentingan rawatan awal jika berada dalam situasi kecemasan yang memerlukan bantuan segera. Kemahiran ini perlu dikuasai oleh setiap individu dan tidak terhad kepada pengamal perubatan sahaja. Program ini juga secara tidak langsung menerapkan nilai matlamat pembangunan mampan Sustainable Development Goals; Good-Health and Wellbeing (SDG-3) dan Quality Education (SDG 4) iaitu dalam usaha berkaitan gaya hidup sihat dan sejahtera dengan memberi pendedahan dan kesedaran dalam mempelajari tentang kepentingan dan memahami kaedah yang betul dalam rawatan kecemasan awal seperti CPR.
Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, FRLS
Penulis bersama:
Azharul bin Azemi, Dr. Norlaila Azura Kosni, Nur Atikah Mohamed Kassim, Fatin Aqilah Abdul Razak, Nurul Nadiah Shahudin