Puncak Perdana, 29 Jun 2024 – Kursus First Aider & Emergency Responder 2024 (FAER) anjuran Unit Kesihatan UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Perdana telah dijayakan dengan penyertaan 20 peserta terpilih yang terdiri Staf Residen Kolej, Polis Bantuan dan Pengurusan Kolej dari Kampus Puncak Perdana, Puncak Alam dan Kampus Sungai Buloh.
Kursus ini dianjurkan bagi memberi pengetahuan dan pendedahan rawatan awal di kampus dan tindakan yang perlu dibuat sekiranya berlaku sebarang kejadian kecemasan dalam kampus. Ia juga antara lain bagi memberi pendedahan secara latihan teori dan praktikal kepada peserta supaya dapat menguasai kemahiran asas bantuan kecemasan, bijak menghadapi setiap kes kecemasan, tidak cepat panik dan pantas membuat keputusan yang perlu untuk meningkatkan kadar survival.
Kursus ini dilihat bukan sekadar menambah ilmu pengetahuan, tetapi menjadi satu nilai tambah kepada setiap individu untuk lebih yakin, cekap dan peka memberikan rawatan awal kepada mereka yang memerlukan – sebelum ketibaan pasukan perubatan. Ini kerana kejadian kemalangan atau kecederaan boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuklah di dalam kampus.
Hadir merasmikan program bagi pihak Rektor UCS adalah YBrs. Profesor Madya Sr Dr Rosmadi Ghazali, Timbalan Rektor (Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni Dan Keusahawanan (iCARE). Mudah-mudahan segala tunjuk ajar dan perkongsian ilmu yang telah diterima berupaya menjana horizon baru kepada semua peserta kursus ke arah mempersiapkan diri dalam tugasan hakiki.