KURSUS ASAS PENYELENGGARAAN RUMAH KEPADA KOMUNITI ORANG ASLI

Tarikh mula : 27 Mei 2023
Tarikh tamat : 18 Jun 2023
Lokasi kursus: Dewan Kampung Tumboh Hangat, Bota Kanan, Perak

Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi (JABT), Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perak telah dilantik oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) sebagai Penyedia Latihan TVET kepada komuniti Orang Asli. Latihan telah disediakan melalui kursus secara hands-on kepada komuniti Orang Asli di kawasan Perak Tengah selama lapan hari. Seramai sepuluh orang peserta dari kampung Orang Asli Kg Tumboh Hangat, Kg Suak Padi dan Kg Gedung Batu, Bota, Perak telah mengikuti kursus ini dengan jayanya. Kursus yang dibiayai sepenuhnya oleh PASAK dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Perak Tengah telah bermula pada 27 Mei 2023 dan tamat pada 18 Jun 2023 di Dewan Orang Ramai Kg Tumboh Hangat. Manakala majlis penutup telah diadakan di tempat yang sama pada 14 Julai 2023. Majlis penutup telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Encik Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Belanja.

Objektif kursus ini diadakan ialah memberi pengenalan elemen bangunan rumah kediaman kepada komuniti Orang Asli, memberi pengetahuan asas kerja penyelenggaraan bangunan rumah kediaman dan menyediakan latihan praktikal (asas) kerja pemeriksaan dan pembaikan bangunan rumah kediaman. Oleh itu, sebanyak lapan modul telah disediakan untuk kursus ini iaitu Pengenalan kepada bangunan; Asas kerja elektrik; Keselamatan kerja elektrik; Asas penyelenggaraan rumah; Pemeriksaan fizikal rumah; Perpaipan dan peralatan sanitari; Perpaipan bekalan air dan Pembaikan fizikal rumah. Modul yang disediakan melibatkan sesi pengajaran dan pembelajaran secara teori dan latihan secara praktikal. Kuiz dan demonstrasi juga disediakan untuk menilai pencapaian objektif pembelajaran.

Bangunan dewan tempat kursus ini dijalankan telah dijadikan bahan pembelajaran dan latihan kepada para peserta untuk menggantikan bangunan jenis rumah kediaman. Pencapaian keberkesanan kursus ini ditunjukkan melalui keupayaan peserta menjalankan kerja penyelenggaraan dan pembaikan kepada bangunan dewan tersebut. Para peserta telah menjalankan kerja pemeriksaan secara visual kepada bumbung, dinding, siling, pintu serta kerosakan peralatan elektrik seperti lampu dan pendawaian. Kesemua kerosakan yang dikenalpasti telah dibaiki. Keseluruhan dinding dalam dan luar bangunan dewan ini telah dicat baharu oleh para peserta kursus. Hasilnya bangunan dewan yang asalnya kelihatan suram telah kelihatan lebih menarik dan selesa. Kejayaan menjalankan kerja pembaikan ini menandakan para peserta dapat mengaplikasikan pengetahuan asas kerja penyelenggaraan bangunan melalui aktiviti pembaikan fizikal rumah (latihan praktikal) seperti kerja mengecat dan pendawaian elektrik. Para peserta juga lebih yakin untuk menjalankan kerja penyelenggaraan dan pembaikan rumah mereka sendiri selepas mengikuti kursus ini kerana telah mendapat latihan dan bimbingan daripada tenaga pengajar dari UiTM.

Laporan disediakan oleh Siti Akhtar Mahayuddin, Noor Rizallinda Ishak dan Wan Nur Syazwani Wan Mohammad daripada Program Pembinaan, Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, Perak.