21 April 2021 – Telah berlangsung kunjungan mesra Profesor Ts. Dr Mohd Nazip Suratman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) ke Pejabat Penerbit UiTM, Kompleks Usahawan, UiTM Shah Alam, Selangor. Kunjungan kali kedua beliau sejak dilantik menjadi TNCPI UiTM disambut mesra oleh Pengarah Penerbit UiTM, Profesor Dr Norzaidi dan barisan pengurusan tertinggi dan seluruh staf Penerbit UiTM.
Profesor Ts. Dr Nazip dalam ucapannya merakamkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga kerja Penerbit UiTM atas pencapaian jualan buku Penerbit UiTM yang mencecah hampir RM 1.3 juta dan penerbitan buku termasuklah e-buku sebanyak 100 judul buku pada tahun 2020. Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah Penerbit UiTM kerana telah berjaya melakukan transformasi yang berimpak tinggi kepada Penerbit UiTM.
Menurut Pengarah Penerbit UiTM, Prof. Dr Norzaidi, “Pencapaian yang membanggakan ini adalah hasil usaha kesepaduan, sinergi dan semangat kerjasama oleh staf Penerbit UiTM. Inisiatif terbaik pada ketika ini adalah menerusi aktiviti penjualan buku dalam talian, iaitu melalui platform Shopee yang telah menunjukkan hasil yang sangat memberangsangkan.”
Prof. Mohd Nazip sempat menitipkan kata-kata semangat kepada semua staf Penerbit UiTM untuk terus bersama-sama mendokong aspirasi dan menyumbang melalui pencapaian KPI, seterusnya menjadikan UiTM sebuah universiti terkemuka dunia menjelang 2025.
Sementara itu, beliau turut meninjau ruang kerja di setiap unit di Penerbit UiTM seperti Unit Pentadbiran, Unit Jualan dan Pemasaran, dan Unit Editorial. Lebih menarik, Prof. Ts. Dr Nazip berkesempatan merasai sendiri proses membungkus pesanan jualan daripada pelanggan yang telah ditempah melalui platform Shopee.
Untuk rekod, Penerbit UiTM merupakan salah sebuah PTJ di bawah Pejabat TNCPI yang telah mencapai KPI dan sasaran KPI penerbitan buku dan jualan pada tahun 2020. Menurut Timbalan Pengarah (Perolehan dan Pemasaran), Datin Dr Norazida, “Hanya dalam satu hari sahaja, iaitu pada 20 April 2020 (semalam), penjualan buku Penerbit UiTM di Shopee UiTM Bookville telah mencapai RM75,000.
Syabas Pejabat Penerbit UiTM dan seluruh warga kerjanya!