Kunjungan Rombongan UiTM Sarawak ke Perpustakaan Nasional Republik Indonesia

Kunjungan Rombongan UiTM Sarawak ke Perpustakaan Nasional Republik Indonesia yang ketuai oleh Rektor UiTM Cawangan Sarawak

Jakarta, Isnin, 28 Oktober 2019: Rombongan UiTM Cawangan Sarawak yang diketuai oleh Rektor, Prof. Dato Dr Jamil bin Hj.  Hamali telah mengadakan kunjungan hormat serta lawatan susulan penyelidikan Islam Nusantara ke Perpustakaan Nasional Republik Indonesia.

Perbincangan mengenai majlis tandatangan MOU diantara UiTM dan Perpustakaan Nasional Republik Indonesia juga telah diadakan. Selain itu, lawatan ini telah membongkar beberapa karya kuno yang menjadi buruan kumpulan penyelidik.  Antaranya ialah naskah kuno Negarakertagama yang menjadi rujukan utama pengkajian tentang Nusantara, peta-peta lama Nusantara dan naskah kuno lain.

Kumpulan penyelidik merasa teruja kerana buat pertama kali ditunjukkan secara ekslusif naskah tersebut yang jarang ditunjukan kepada pengkaji atau orang awam lainnya.  Naskah ini ialah naslah tua yang ditulis pada tahun 1360 M yang menceritakan kekuatan kerajaan Majapahit yang meliputi hampir seluruh wilayah Nusantara dan juga ajaran Budha.

Apa yang menarik dalam naskah ialah disebutkan kerajaan tua yang wujud di Borneo iaitu Sarawak, Kelaka,  Melano, Kutei dan lain-lain. Selepas  meneliti naskah kuno yang berbahasa Jawa Kuno tersebut rombongan terus diperlihatkan peta-peta lama seawal tahun 1606 M.  Rombongan telah memfokuskan wilayah Borneo yang merupakan fokus penyelidikan mereka.

Ada puluhan peta yang dilakar pengembara barat dari Sepanyol, Itali,  Portugis dan lain-lain.  Lawatan ini merupakan lawatan sulong yang amat berharga bagi pihak penyelidik dan akan diadakan lawatan susulan bagi melengkapkan penyelidikan mereka.

Ahli kumpulan lain yang turut serta adalah Prof. Madya Dr Firdaus Abdullah, Dr Hadenan Towpek,  Dr Abdul Razak bin Abdul Kadir,  Dr Saimi Bujang, Sharifah Anom Omar dan Mohd Syahiran Abdul Latif.

0
0