Sumbangan UiTM Kampus Mukah untuk petugas barisan hadapan di IPD Dalat

(MUKAH): Rombongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Mukah yang diketuai oleh Dr. Hajjah Khadijah Hj. Khalid iaitu Penolong Rektor telah membuat kunjungan rasmi ke IPD Dalat baru ini. Kunjungan ini telah disambut oleh DSP Saga Chunggat iaitu Ketua Polis Daerah IPD Dalat. Kunjungan ini merupakan tindakan segera kepada saranan daripada Residen Mukah kepada agensi-agensi kerajaan di Bahagian Mukah dalam usaha untuk membantu petugas barisan hadapan dalam menangani krisis penularan COVID-19 di dalam negeri ini khususnya.

Antara tujuan utama kunjungan ini adalah untuk menyampaikan sumbangan cecair sanitasi keluaran UiTM Kampus Mukah, pelitup mulut dan hidung serta bekalan makanan kering kepada petugas barisan hadapan yang sedang mengawal kawasan dan laluan keluar masuk terutamanya di kawasan 11 buah Rumah Panjang Ulu Baoh, Dalat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Penyediaan cecair sanitasi keluaran UiTM Kampus Mukah turut mendapat sumbangan dana daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Cawangan Mukah.

Perjumpaan tersebut juga telah membincangkan tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan keadaan semasa seperti kes penularan COVID-19 di Sarawak dan kes-kes jenayah yang berlaku di bahagian Mukah. Selain itu, perkara lain yang turutdibincangkan dalam pertemuan tersebut ialah jalinan kerjasama antara UiTM kampus Mukah dan IPD Dalat pada masa akan datang. Kunjungan ini diakhiri dengan  penyampaian sumbangan UiTM Kampus Mukah kepada IPD Dalat dan sesi bergambar.