Kunjungan Rasmi Penolong Naib Canselor Keusahawanan Dalam Misi Keusahawanan Sosial di UiTM Cawangan Sabah

Kota Kinabalu, 4 Disember 2024 – UiTM Cawangan Sabah telah menerima kunjungan mesra daripada Penolong Naib Canselor Keusahawanan, Prof Ts Dr Salmiah Kasolang. Kunjungan ini bertujuan untuk mengadakan sesi perkongsian bersama Rektor UiTM Cawangan Sabah, Prof Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed, mengenai program “Way Forward”, kecerdasan kewangan peribadi (Personal Financial Intelligence), dan pelbagai aktiviti keusahawanan di kampus. Perbincangan ini fokus kepada inisiatif yang dapat memperkasakan pelajar dalam bidang keusahawanan serta strategi untuk mempromosikan kecerdasan kewangan di kalangan warga kampus.

Dalam kunjungan tersebut, Prof Ts Dr Salmiah turut meluangkan masa melawat MySET atau My Social Enterprise Town, sebuah inisiatif yang diinspirasikan oleh Rektor UiTM Sabah. MySET adalah sebuah kafe makanan dan minuman yang menyediakan menu istimewa mee kari lobster air tawar. Lobster-lobster ini diternak oleh peserta di bawah bimbingan program UiTM bersama TERAJU. MySET bukan sahaja menyediakan makanan yang lazat, tetapi juga berfungsi sebagai platform keusahawanan sosial yang memberi peluang kepada pelajar, terutama dari golongan B40 dan asnaf, untuk menjalankan perniagaan sebenar.

Keusahawanan sosial merupakan tujuan utama penubuhan MySET, yang memberikan peluang “hands-on” kepada pelajar dalam mengendalikan kafe dan memahami selok-belok operasi perniagaan. Prof Ts Dr Salmiah kagum dengan usaha-usaha yang dilakukan dan menyatakan rasa puas hati dengan perkembangan yang dicapai oleh UiTM Cawangan Sabah. Beliau berharap program seperti ini akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar pada masa akan datang, serta menyokong hasrat universiti untuk melahirkan usahawan yang bukan sahaja berjaya dalam perniagaan tetapi juga menyumbang kepada masyarakat.