Pada 11 Februari 2020, 40 pelajar dan 2 guru pengiring dari Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya (KTEPJ) telah mengadakan lawatan ke Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor. Antara lain, objektif lawatan adalah untuk mendapatkan maklumat tentang program-program Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan di fakulti.
Satu sesi taklimat tentang program-program yang ditawarkan telah diadakan. Dr. Wan Nurul Elia Haslee Sharil, Koordinator Program Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua atau TESL telah mengendalikan siri pengenalan kepada program TESL dan Pendidikan Seni dan Senireka.
Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Pendidikan Sains dan Matematik, Prof. Madya Dr. Teoh Sian Hoon pula memfokuskan kepada program Pendidikan Sains yang melibatkan tiga teras utama iaitu Biologi, Kimia dan Fizik; serta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) dan Pendidikan Matematik. Tumpuan diberikan kepada kelayakan dan syarat kemasukan. Taklimat disusuli dengan sesi soaljawab. Pelbagai soalan yang berkisar kepada program dan syarat kelayakan, khususnya, serta tentang Fakulti Pendidikan dan UiTM, amnya.
Fakulti Pendidikan mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua guru pengiring, Encik Mohd Khir Kassim dan Puan Aniza Ithnin di atas kesudian mengelolakan lawatan ke Fakulti Pendidikan. Selamat berjaya kepada para pelajar dan semoga dapat menggunakan maklumat yang disampaikan untuk membuat keputusan yang betul dalam memilih hala tuju masa hadapan.