28 Ogos 2024: Petang ini, telah berlangsung satu kunjungan hormat oleh delegasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor ke Pejabat YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi. Delegasi UiTM diketuai oleh YBrs. Prof. Ts. Sr. Dr. Md Yusof Hamid, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), dan Prof. Madya Dr. Saunah Zainon, Rektor UiTM Cawangan Johor.
Turut hadir dalam kunjungan ini ialah Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohammad Noor Jalil, Pengarah Pembangunan Pelajar, Pejabat TNC HEP, dan Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Pengarah Pusat Kokurikulum, Pejabat TNC HEP. Kesemua barisan JKEN UiTM Cawangan Johor serta beberapa pegawai berkaitan turut serta.
Kunjungan ini memberi fokus kepada pembentangan usahasama strategik antara UiTM dan Kerajaan Negeri Johor, dengan penekanan kepada pemerkasaan mahasiswa serta penawaran kepakaran dan impak UiTM kepada kerajaan negeri. Diharapkan kunjungan ini akan membentuk hubungan yang proaktif dan mengukuhkan kerjasama sedia ada, serta membuka peluang baru demi kepentingan bersama.
Pelbagai perkara telah dibincangkan dan diperincikan, dengan tujuan meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak Bangsa Johor dan merangka strategi bagi memperluas peluang kerjaya yang sejajar dengan pembangunan JS-SEZ, yang bakal menjadi pemangkin kejayaan Maju Johor 2030.
Semoga inisiatif ini menjadi langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan antara UiTM dan Kerajaan Negeri Johor serta memajukan lagi pendidikan tinggi di negeri ini.
Penulis : Dr. Saunah Zainon, Mohd Nor Hajar Hasrol Bin Jono
Penulis Bersama : Profesor Dr. Hj. Mohd. Sazili Shahibi, Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman, Dr.Basharudin Abdul Hadi