03 Mac 2023 (Jam 3ptg) – Satu kunjungan hormat daripada Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik, Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Perlis ke Jabatan Ukur Pemetaan Malaysia(JUPEM), Kuala Lumpur telah diadakan pada hari ini. Kunjungan hormat ini diketuai oleh Yang Berusaha Prof Madya Sr Ts Dr Saiful Aman Hj Sulaiman, Ketua Pusat Pengajian (Sains Ukur dan Geomatik), KAB, UiTM Shah Alam dan turut disertai wakil pensyarah PSUG, KAB UiTM Cawangan Perlis iaitu Prof Madya Sr Mohd Azwan Abbas, Sr Mohamad Asrul Mustafar dan Sr Norshahrizan Mohd Hashim.
Kunjungan telah disambut oleh YBrs. Sr Hazri Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Ukur Dan Pemetaan II (TKPUP II) di Bilik Mesyuarat Intan, Tingkat 11, Wisma JUPEM, bersama beberapa pegawai daripada Bahagian JUPEM. Pertemuan pertama ini bertujuan untuk membincangkan kolaborasi penyelidikan melibatkan pemerkasaan ketepatan data kadaster. Pihak JUPEM secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan yang diusulkan. Langkah seterusnya adalah perbincangan bersama JUPEM Perlis untuk mengenalpasti lokasi blok kadaster yang sesuai.
YBrs Sr Hazri Hassan juga turut menzahirkan rasa berbesar hati menerima kunjungan hormat buat julung kalinya dari ahli akademik di Malaysia ke JUPEM. Selain bertukar-tukar pandangan dan cetusan idea-idea baru, sesi kunjungan hormat ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan kerjasama antara UiTM dan JUPEM terutamanya yang melibatkan isu-isu kadaster dan yang berkaitan.