KOTA KINABALU, 30 Disember 2024 – Persatuan Wanita Universiti Teknologi MARA (PEWANI) UiTM Cawangan Sabah berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada Datin Dr. Fadzillah Salim, Yang Dipertua PEWANI, dan YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Penasihat PEWANI, bersama rombongan PEWANI Shah Alam pada 13 Disember 2024. Program ini berlangsung di Galeri PTAR, UiTM Cawangan Sabah dan turut disertai oleh ahli PEWANI Cawangan Sabah.
Dalam program tersebut, YBhg. Penasihat PEWANI merakamkan ucapan tahniah kepada PEWANI UiTM, khususnya PEWANI UiTM Cawangan Sabah, atas pelbagai usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan. Antara aktiviti yang diadakan termasuk Kempen Wanita, Pertandingan Tiktok Sempena Hari Wanita, sumbangan Sungkai (Iftar) kepada pelajar dan komuniti setempat, Sumbangan Bakul Ramadhan, Siri 5 Minute With PEWANI, Zumba, serta Penjanaan Pendapatan melalui jualan tudung dan keychain corak etnik Sabah.
“Aktiviti seperti ini mampu memberi faedah kepada ahli dan komuniti setempat, sejajar dengan matlamat PEWANI untuk menjaga kebajikan staf wanita dan isteri staf UiTM, serta merapatkan perhubungan muhibbah di kalangan kakitangan wanita,” kata YBhg. Penasihat PEWANI. Beliau juga menekankan peranan PEWANI dalam menjalankan kerja amal bagi faedah ahli dan keluarga mereka, serta orang ramai.
Semasa program berlangsung, YBhg. Penasihat PEWANI dan YDP PEWANI turut melancarkan Kempen Wanita untuk Wanita: Kerana Dirimu Begitu Berharga dan Kempen Kemiskinan Haid (period poverty) di sekolah-sekolah pendalaman sekitar negeri Sabah.
Dalam kunjungan ini, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin juga merasmikan bilik aktiviti khas untuk Persatuan Wanita (PEWANI) UiTM Sabah dan bilik gerakan Persatuan Sukan & Kebajikan Kakitangan (PSKK) UiTM Sabah.