SHAH ALAM, 7 Januari 2025 – Seramai tiga orang sekretariat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Institut Kepimpinan Pelajar (IKP) bagi memperkenalkan barisan kepimpinan baharu Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2024/2025. IKP merupakan antara unit terawal yang menerima kunjungan ini dalam siri kunjungan hormat MPP ke seluruh Pusat Tanggungjawab (PTj.) di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP). Selain dari memperkenalkan barisan kepimpinan baharu, wakil MPP juga memaklumkan kunjungan ini bertujuan untuk membina kerjasama antara MPP dan IKP dalam penganjuran program-program kepimpinan yang dapat dilaksanakan secara bersama.
Dalam ucapan pembukaan, Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar, Prof. Madya Dr. Alwi Bin Mohd Yunus telah memberikan penerangan ringkas berhubung fungsi IKP di bawah JHEP sebagai pembina dan pelaksana modul-modul kepimpinan pelajar dalam rangka melahirkan graduan yang holistik, berketrampilan daripada segi akademik, sahsiah dan kemahiran insaniah
Prof. Madya Dr. Alwi mengambil kesempatan dalam pertemuan ini dengan menyampaikan tazkirah yang menjurus kepada peranan kepimpinan khusus kepada pemimpin pelajar yang berlandaskan kepada kepimpinan Islam dengan mengambil contoh daripada sirah Saidina Ali bin Abi Talib r.a. Prof. Madya Dr. Alwi juga menasihati wakil MPP yang hadir agar tidak terlalu ghairah menimbulkan isu-isu dalam pengurusan tanpa membuat penilaian yang sedalam-dalamnya.
Prof. Madya Dr. Alwi kemudian membacakan petikan dari Surah Al-Israa’ ayat: 36 yang bermaksud “Dan janganlah kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran, penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”
Dalam pertemuan ini pihak MPP dan IKP telah mencapai kata sepakat untuk mewujudkan kerjasama strategik diantara MPP dan IKP dalam memperkasa kepimpinan mahasiswa bagi melahirkan pemimpin masa hadapan yang berteraskan kepada Model Pemerkasaan Graduan UiTM (MPMU).
Sebagai kerjasama awal antara IKP dan MPP, pihak IKP membenarkan MPP untuk menggunakan fasiliti IKP terutama bilik Mesyuarat/Bilik Latihan Kenegaraan IKP sebagai ruangan perbincangan. IKP dan MPP juga bersetuju untuk menjadikan ruangan tersebut sebagai studio siaran secara atas talian bagi program-program kepimpinan yang akan dianjurkan pada tahun 2025.
Pada akhir pertemuan ini, wakil MPP memaklumkan sekretariat MPP dan para pemimpin pelajar yang lain akan memberikan sokongan penuh kepada program-program yang dianjurkan oleh IKP dalam usaha untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang berkualiti.
Ketiga-tiga wakil MPP kemudian telah dibawa oleh Penolong Pendaftar Kanan IKP untuk melawat pejabat IKP dan beramah mesra bersama dengan staf IKP sebelum menamatkan kunjungan hormat MPP ini pada pukul 10.30 pagi.
Penulis Utama: Prof. Madya Dr. Alwi Bin Mohd Yunus
Penulis Bersama:Nordiana Binti Ibrahim, Mohamad Hisyam Bin Ismail, Muhammad Khalid Abdullah