Kunjungan Hormat Delegasi Unisnu Jepara Ke UiTM Cawangan Perlis Anjur Kolaborasi Pelbagai Bidang

Arau, 27 September 2024 – Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universitas Islam Nahlatul Ulama (UNISNU) Jepara, Jawa Tengah, Indonesia. Delegasi diketuai oleh YBhg Rektor UNISNU Jepara, Prof Dr H Abdul Djamil tiba di UiTM Cawangan Perlis beserta ahli delegasi terdiri daripada YBrs Ketua Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Komuniti, Dr Mayadina Rohmi Musfiroh; YBrs Timbalan Dekan Fakulti Tarbiyah dan Sains Pengajaran, Puan Nina Sofiana; dan YBrs Ketua Pejabat Antarabangsa UNISNU Jepara, Puan Aprilia Riyana Putri.

Tujuan kunjungan hormat adalah untuk melihat potensi kolaborasi dalam pelbagai bidang akademik dan penyelidikan saintifik merangkumi bidang Ekonomi dan Perniagaan, Sains Tarbiyah dan Perguruan, Komunikasi dan Reka Bentuk, Shariah dan Perundangan, Sains dan Teknologi; dan Pengajian Siswazah. YBrs Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof Madya Dr Shukor Sanim Mohd Fauzi berkata kehadiran delegasi UNISNU membuka potensi-potensi kerjasama antarabangsa dua hala dalam pelbagai bidang yang boleh menguntungkan kedua-dua universiti.

Sementara itu, YBrs Pegawai Perhubungan UiTM Global, Dr Mohd Akmal Hashim berkata lokasi UNISNU Jepara yang terletak berhampiran dengan kawasan pesisir pantai di mana kegiatan penyelidikan marikultur rancak dijalankan boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua institusi dalam kajian sains persisiran pantai, oseanografi dan marikultur.

Delegasi UNISNU Jepara seterusnya dibawa melawati makmal-makmal Sains dan Teknologi di sekitar Kompleks STAR dan disusuli dengan lawatan ke Unit Ladang UiTM Cawangan Perlis sebelum lawatan berakhir.