Kunjungan Hormat Dekan dan Pengurusan Tertinggi Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Shah Alam ke UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 14 Ogos – Pihak UiTM Cawangan Kelantan telah menerima kunjungan rasmi Dekan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Shah Alam, Prof. Madya Dr. Afandi Mat Rani dan Pengurusan Tertinggi ACIS UiTMSA pada 9 Ogos 2022. Tetamu terlebih dahulu dibawa untuk ke sesi bergambar bersama Rektor UiTMCK dan menandatangani buku pelawat di hadapan Rektor secara rasmi sebagai tanda kenangan kehadiran ke UiTMCK. Kunjungan Dekan bersama Pengurusan Tertinggi ACIS, UiTMSA adalah untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai perancangan menjalankan beberapa program bersama warga ACIS UiTMCK.

Pihak ACIS UiTMSA & ACIS UiTMCK turut mengadakan pertemuan bersama wakil pengurusan Yayasan Islam Kelantan (YIK). Sesi pertemuan ini diwakili oleh Ustaz Harun bin Ismail yang merupakan Ketua Unit Hal Ehwal Pelajar, YIK.

Ketua Pusat Pengajian ACIS UiTMCK, Dr. Affendi Ismail berkongsi bersama Dekan kepada wakil YIK tentang latar belakang dan peranan yang boleh dimainkan ACIS bagi membentuk hasrat kerjasama di antara ACIS dan YIK daripada aspek yang pelbagai.

Sebagai sebuah yayasan pendidikan yang mempunyai jaringan yang sangat besar di Kelantan, Ustaz Harun menyambut baik cadangan daripada pihak ACIS untuk mengadakan kerjasama serta membuka ruang kepada pelbagai perancangan yang boleh disusun untuk manfaat kedua-dua belah pihak.

Sesi kunjungan hormat oleh Dekan dan Pengurusan Tertinggi ACIS diakhiri dengan sesi pertemuan bersama barisan pensyarah ACIS UiTMCK.

Sesi tersebut telah dijalankan sebagai ruang menyalurkan maklumat dua hala daripada pihak pengurusan tertinggi ACIS dan pihak pensyarah ACIS UiTMCK. Pelbagai perkara telah dijadikan agenda perbincangan yang merangkumi aspek pengurusan hal ehwal akademik, pelajar, serta penyelidikan ACIS UiTMCK.

Selain itu, pertemuan tersebut juga dijadikan ruang bagi mengeratkan lagi hubungan diantara kedua-dua belah pihak.