Kunjungan Delegasi UPI-UNNES-UNY ke Muzium Kesenian Islam Malaysia anjuran bersama Fakulti Pendidikan dan Muzium Kesenian Islam Malaysia

Kunjungan Delegasi UPI-UNNES-UNY ke Muzium Kesenian Islam Malaysia anjuran bersama Fakulti Pendidikan dan Muzium Kesenian Islam Malaysia
Delegasi UiTM-UPI-UNNES-UNY di Muzium Kesenian Islam Malaysia

Bersempena dengan penganjuran Kolokium antarabangsa pascasiswazah Pendidikan Seni 2019 November lalu, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, telah menganjurkan kunjungan ke Muzium Keseniaan Islam Malaysia. Kunjungan ini merupakan anjuran bersama Muzium Keseniaan Islam Malaysia.

Peserta kolokium dan delegasi terdiri daripada mahasiswa ijazah kedoktoran Indonesia Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Universitas Negeri Semarang (UNNES) dan Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) ini berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat koleksi artifak keseniaan islam seluruh dunia.  Kunjungan ke Muzium Keseniaan Islam Malaysia merupakan salah satu aktiviti pengantarabangsaan yang dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan UiTM sepanjang 5 hari delegasi berada di Malaysia.

Kunjungan Delegasi UPI-UNNES-UNY ke Muzium Kesenian Islam Malaysia anjuran bersama Fakulti Pendidikan dan Muzium Kesenian Islam Malaysia
Sesi taklimat oleh pegawai Muzium Kesenian Islam Malaysia

Objektif utama kunjungan tersebut ialah untuk meningkatkan kefahaman komuniti rantau Asia terhadap pembangunan seni Islam di Malaysia serta nilai estetik dan budaya yang terdapat pada objek-objek pameran. MKIM merupakan muzium kesenian Islam yang terbesar di Asia Tenggara dengan koleksi lebih daripada 7 ribu artifak-artifak dunia Islam yang dipamerkan di 12 galeri pameran.

Kehadiran delegasi telah disambut oleh Puan Rashidah Salim, Pembantu Eksekutif Kanan di MKIM. Puan Rashidah telah memberikan taklimat latarbelakang MKIM sebelum delegasi memulakan lawatan berpandu di muzium tersebut. Delegasi turut berpeluang ke Conservation and Research Centre di mana pegawai di Jabatan Konservatori melakukan demonstrasi proses pemeliharaan (preservation) ke atas artifak. Di samping itu, para delegasi juga dibawa untuk melihat sendiri 10 objek terbaik yang terdapat di MKIM dan ada di antaranya yang tidak dipamerkan kepada umum.

Kunjungan Delegasi UPI-UNNES-UNY ke Muzium Kesenian Islam Malaysia anjuran bersama Fakulti Pendidikan dan Muzium Kesenian Islam Malaysia
Kunjungan delegasi ke Muzium Kesenian Islam Malaysia

Para pensyarah yang terlibat di dalam kunjungan tersebut melahirkan rasa kagum dengan kehebatan  kolek-koleksi objek yang terdapat di MKIM; dan inisiatif yang telah diambil oleh MKIM dalam pemeliharaan artifak dari dunia Islam.

MKIM ditubuhkan dan diuruskan oleh Yayasan (Islam) Al-Bukhary. Selain daripada pusat konservasi dan pameran objek kesenian Islam, program-program di MKIM turut disusun untuk mencapai matlamat pendidikan. Selain daripada penganjuran pameran-pameran sementara yang berteraskan keagungan ilmu, MKIM turut menawarkan program-program pendidikan yang menyokong Falsafah Pendidikan Negara dan selari dengan kurikulum kebangsaan; untuk para pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Sila layari laman web Muzium Kesenian Islam Malaysia https://www.iamm.org.my/ untuk informasi lanjut.

1
0