Kota Kinabalu, 3 Mac 2023 – Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Kota Kinabalu telah menerima kedatangan delegasi daripada Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) pada sekitar jam 10.30 pagi. Delegasi ini diketuai oleh Puan Bahiwata Hj Mulia, Pengurus Kumpulan Bahagian Pembangunan Pendidikan Yayasan Sabah, mewakili Pengarah Yayasan Sabah, Yang Berhormat Dato’ Seri Ghulamhaidar Khan Bin Khan Bahadar serta pegawai-pegawai Kanan KYS. Delegasi telah disambut oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sabah, Yang Berbahagia Datin Dr Rafidah@Malissa Salleh bersama pegawai-pegawai HEP dan barisan pemimpin pelajar.
Tujuan delegasi ini adalah bagi menyampaikan sumbangan beras kepada Dapur HEP yang telah mula beroperasi di kolej-kolej kediaman UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu sejak Mac 2022. Pihak KYS telah menyumbang sebanyak 300 kampit beras 10kg bagi kegunaan pengoperasian Dapur HEP sepanjang bulan Ramadhan yang akan datang.
Dapur HEP ini membekalkan nasi percuma sebanyak 2 kali sehari kepada pelajar-pelajar UiTM Cawangan Sabah, khususnya dari keluarga B40. Bekalan beras yang digunakan oleh Dapur HEP adalah seratus-peratus hasil sumbangan orang ramai yang terdiri daripada staf dan alumni UiTM, agensi-agensi kerajaan, syarikat swasta, orang ramai dan kalangan pelajar sendiri. Nasi pula dimasak oleh sukarelawan pelajar yang tinggal di kolej-kolej kediaman. Sehingga ke hari ini, Dapur HEP telah memberi manfaat kepada 3 ribu orang pelajar yang tinggal di kolej-kolej kediaman, UiTM Cawangan Sabah.
Selain itu, KYS turut menyumbang makanan kering seperti biskut dan sardin dalam tin kepada Food Bank serta 3 unit ketuhar gelombang mikro untuk kegunaan Dapur HEP.
Dapur HEP dan Food Bank UiTM Cawangan Sabah sangat mengalu-alukan sumbangan dari semua pihak. Semoga inisiatif yang diambil ini dapat membantu meringankan beban perbelanjaan harian para mahasiswa, sekaligus membantu ke arah kecemerlangan universiti.