Samarahan, 10 Ogos 2024 – Kumpulan pelajar X5 dari UiTM Cawangan Sabah berjaya mencipta sejarah apabila meraih pingat emas dalam program Showcase Impact on Digital Community Tourism (IDCT2023), anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Program yang berlangsung selama tiga hari ini telah diadakan di Samarahan, Sarawak, dan disertai oleh 16 IPTA, politeknik serta kolej komuniti dari seluruh Sabah dan Sarawak.
Showcase IDCT2023 yang bermula pada bulan Jun 2023 dan berakhir pada Ogos 2024, merupakan sebuah program yang bertujuan untuk mempamerkan hasil inovasi dan kreativiti pelajar dalam bidang keusahawanan dan penggunaan teknologi dalam membantu komuniti mendigitalkan produk pelancongan mereka. Kumpulan X5 berjaya menonjolkan kehebatan mereka dengan mempersembahkan projek yang mendapat pujian daripada para juri dan akhirnya dinobatkan dengan tahap cemerlang (emas). kumpulan X5 memilih pelancongan berasaskan komuniti di Tegudon Tourism Village, Kota Belud Sabah.
Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa bimbingan dan sokongan padu daripada mentor mereka, En. Ghazali Ismail, serta Koordinator Keusahawanan, En. Mohammad Firdaus Mohamad. Kedua-dua mereka memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar-pelajar ini menerima panduan yang tepat dan efektif dalam mengembangkan idea mereka hingga berjaya menarik perhatian pihak penganjur dan juri.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, yang turut menyampaikan ucapan tahniah kepada semua peserta atas komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan. Beliau turut menyatakan harapan agar program seperti ini dapat terus dianjurkan untuk mengasah bakat pelajar dalam bidang keusahawanan dan menggunakan teknologi untuk membantu sektor pelancongan berasaskan komuniti setempat.
Dalam tempoh tiga hari tersebut, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk pameran projek, sesi pembentangan, dan juga perbincangan antara peserta dan pakar industri. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada para pelajar untuk mempamerkan inovasi mereka, tetapi juga membuka ruang untuk mereka belajar dan berkembang dalam bidang keusahawanan serta membantu komuniti setempat dalam mempromosikan produk pelancongan secara digital.
Dengan kemenangan ini, kumpulan pelajar X5 telah membuktikan bahawa usaha keras dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi mampu membawa kejayaan yang membanggakan. Kejayaan ini juga diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk terus berusaha dalam mencapai kecemerlangan.