Seri Iskandar, 20 Mei 2024 – Dewan Seri Iskandar, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, menjadi tumpuan ramai apabila program Kuliah Komik yang diadakan sebagai sebahagian daripada International Convention on Creative Industry (PICCI) 2024. Program ini bertujuan untuk mengembangkan dan mengasah bakat seni komik ke peringkat yang lebih tinggi, baik nasional mahupun global.
Program ini dikendalikan oleh dua pengamal industri seni komik iaitu Dr. Suraya Md Nasir atau lebih dikenali sebagai Jon Suraya, merupakan pensyarah Fakulti Seni, Kelestarian & Industri Kreatif dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Beliau bersama Xanseviera, seorang pakar dalam bidang industri komik, berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan peserta.
Kuliah Komik ini disertai oleh lebih daripada 30 peserta yang berminat untuk memperdalami ilmu dalam seni komik. Program ini berlangsung dari jam 2.00 hingga 3.30 petang, memberikan ruang dan peluang yang cukup bagi para peserta untuk menimba ilmu dan bertukar pandangan dengan pakar-pakar industri seni.
Progam ini yang dijenamakan dengan nama Fakulti Komik dianjurkan oleh SAKO PLUS dan PICCI 2024 dengan kerjasama Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Uitm Cawangan Perak. Kerjasama antara institusi-institusi ini menunjukkan komitmen tinggi dalam memajukan industri komik tempatan dan menyediakan platform bagi bakat-bakat baru untuk terus berkembang secara produktif.
“Kuliah Komik ini adalah satu inisiatif penting untuk memartabatkan seni komik dan membuka peluang kepada para peserta untuk menonjolkan bakat mereka di peringkat yang lebih tinggi,” kata Dr. Suraya Md Nasir. Beliau menekankan betapa pentingnya program-program seperti ini dalam membina rangkaian dan memperkukuhkan industri komik di Malaysia.
Kehadiran pelajar, pelukis komik terkemuka dan penyertaan yang menggalakkan dalam program Kuliah Komik di PICCI 2024 berjaya mencapai matlamatnya untuk menginspirasi dan memupuk bakat-bakat seni komik. Ini membuktikan bahawa industri komik di Malaysia mempunyai potensi besar untuk berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa.