25 Ogos 2022 | Halifax, Kanada – KPT terus mempergiatkan usaha menjadikan Malaysia sebagai Hab Pendidikan Global yang bakal menjadi pilihan utama para pelajar antarabangsa dari seluruh pelusuk dunia.
Komitmen yang digalas oleh YB. Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi itu telah membawanya bertemu YB. Brian Wong, Menteri Pendidikan Lanjutan Wilayah Nova Scotia semalam sempena lawatan kerja rasmi beliau ke Kanada.
Nova Scotia yang bermaksud “Scotland Baharu” dalam bahasa latin, merupakan salah satu semenanjung di Kanada yang menghadap lautan Atlantik yang terkenal dengan keindahan dan kekayaan alam semulajadi serta memiliki antara IPT terbaik di negara itu.
Justeru, kerjasama serta kolaborasi strategik yang dapat memanfaatkan Malaysia-Kanada dari aspek pendidikan tinggi diharap dapat dimeterai bagi memperkukuh hubungan baik kedua-dua negara, terutamanya melibatkan wilayah tersebut.
Setakat ini, sudah 18 MoU ditandatangani antara 5 buah IPT di Malaysia dengan institusi-institusi pendidikan tinggi di Kanada.
Dalam ucapannya, YB Menteri Pengajian Tinggi turut berkongsi perancangan KPT bagi melancarkan program EduTourism dalam masa terdekat ini bagi mencapai sasaran iaitu menarik sejumlah 250 ribu pelajar antarabangsa ke Malaysia menjelang tahun 2025.
Melalui EduTourism, KPT akan memperkenalkan program pengajian bersandarkan pengalaman (experience-based) merangkumi pelbagai kursus akademik dan bukan akademik yang akan ditawarkan dalam tempoh 18 bulan dengan IPT di Malaysia turut berfungsi sebagai pusat pelancongan sehenti bagi para pelajar antarabangsa.
Turut hadir Dr. Mohd Zabri Yusoff, TKSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, KPPT, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran, CEO MQA, Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM dan Prof. Dato’ Dr Mazlan Abd Ghaffar, Naib Canselor UMT.
Sumber Berita: FB Kementerian Pengajian Tinggi