Padang Jawa, 8 Jun 2024: Kolej Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) di bawah inisiatif “Service Learning Malaysia – University for Society” (SULAM) telah melancarkan projek Taman Pintar di Kampung Padang Jawa. Projek yang bertujuan untuk menaiktaraf pertanian tempatan melalui kaedah moden dan penglibatan komuniti,
73 pelajar tahun akhir KPPIM yang dibimbing oleh Puan Zatul Amilah Shaffiei, pensyarah kanan di KPPIM, telah membantu penduduk Kampung Padang Jawa untuk meningkatkan pertanian tempatan kawasan setempat dengan mengintegrasikan empat teknik teknologi: aeroponik, sistem penapisan air, taman bertingkat, dan hidroponik di kebun komuniti Kampung Padang Jawa. Setiap teknologi ini membawa pembaharuan dalam pertanian konvensional komuniti tersebut. Sebagai contoh, teknologi aeroponik menggalakan pertumbuhan tanaman melalui penggunaan air dan nutrien yang cekap. Taman bertingkat yang berfungsi sebagai alternatif kepada tanaman pasu dalam rumah menggunakan sistem penyiraman automatik. Untuk kaedah hidroponik, Teknik Filem Nutrien (NFT) digunakan yang mana air berkualiti dialirkan dari kolam keli ke tanaman dalam tiub PVC. Air ini ditapis dan dikitar semula untuk menggalakkan penggunaan air yang lebih efektif dan kesihatan tanaman yang optimum.
Ahli komuniti menyatakan kegembiraan dan rasa terima kasih mereka terhadap inisiatif ini. “Taman pintar ini mewakili perubahan besar bagi kami,” kata Encik Ahmad, seorang penduduk tempatan. “Ia bukan sahaja membawa pendekatan baharu kepada pertanian tetapi juga mengeratkan hubungan komuniti kami.” Puan Laila, seorang lagi penduduk, menambah, “Saya gembira melihat kesan positif ini terhadap pengeluaran hasil tanaman dan kelestarian kampung kami.”
Program SULAM 2024 adalah salah satu inisiatif yang bertujuan untuk memberdayakan dan melayani komuniti melalui aktiviti sukarelawan. Pelajar diberi peluang untuk menerapkan pengetahuan mereka secara praktikal dan mengetahui bagaimana pengetahuan yang mereka peroleh juga dapat meningkatkan taraf hidup komuniti tempatan. Aktiviti-aktiviti ini juga menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan Keempat dan Kesebelas, iaitu Pendidikan Berkualiti dan Bandar dan Komuniti Mampan. Ia juga sejajar dengan visi Malaysia Madani.