Raub, 30 Disember 2024 – Kolej Pengajian Sains Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub, telah berjaya menganjurkan program KPPIM Inspires: Degree Pursuit. Program ini bertujuan memberikan penerangan dan maklumat terkini mengenai proses penerapan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda kepada pelajar semester akhir Diploma Sains Komputer (CDCS110) dan Diploma Statistik (CDCSS111).
Menurut Pengarah Program, Encik Roslan Sadjirin, objektif utama program ini adalah untuk memastikan pelajar memahami peluang yang tersedia serta langkah-langkah penting untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah. “Program ini juga membuka peluang kepada pelajar untuk memahami laluan kerjaya berdasarkan bidang pengajian masing-masing, menjadikannya platform yang holistik dalam persediaan akademik dan kerjaya,” katanya.
Sesi perkongsian program ini dimeriahkan dengan kehadiran wakil Misi Akademik KPPIM UiTM Shah Alam, iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Nor Shahniza Kamal Bashah bagi Program Ijazah Sarjana Muda (CS/IT) dan Puan Aida Wati Zainan Abidin bagi Program Ijazah Sarjana Muda (Statistik). Para panel memberikan penjelasan mendalam mengenai program-program ijazah yang ditawarkan di UiTM Shah Alam, termasuk kelebihan setiap program dan cara pelajar boleh memanfaatkan latar belakang diploma mereka. Sesi soal jawab interaktif juga diadakan bagi membolehkan pelajar mendapatkan maklumat terperinci tentang proses permohonan, syarat kemasukan, dan peluang biasiswa.
Program ini berjaya menarik penyertaan seramai 243 pelajar, termasuk pelajar dari UiTM Cawangan Pahang, serta beberapa pelajar dari UiTM Cawangan Perak dan Kelantan. Pelaksanaan program secara dalam talian membolehkan lebih ramai pelajar mengambil bahagian tanpa kekangan lokasi, sekaligus memperluaskan capaian maklumat kepada semua peserta.
Maklum balas daripada pelajar sepanjang program berlangsung adalah sangat positif. Rata-rata peserta mengakui bahawa program ini bukan sahaja membuka mata mereka terhadap pelbagai pilihan akademik, tetapi juga menyemarakkan semangat untuk terus mencapai kecemerlangan.
Program KPPIM Inspires: Degree Pursuit diharapkan dapat menjadi pemangkin semangat kepada pelajar untuk melangkah maju ke menara gading dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara sebagai graduan yang berdaya saing dan berkaliber.
Penulis bersama: Roslan Sadjirin,Nur Dalila Norshahidi, Saffa Raihan Zainal Abidin