Padang Jawa, 23 Mei 2024 — Bencana banjir yang melanda Kampung Padang Jawa pada tahun lepas telah memberi inspirasi kepada pelajar tahun akhir Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) UiTM untuk membina prototaip yang menggunakan teknologi Internet of Thing (IoT) iaitu Alat Penghadang Banjir Pintar atau Smart Flood Barrier System.
Inisiatif membangunkan prototaip alat penghadang banjir ini berpotensi menghalang air banjir daripada memasuki rumah masyarakat setempat. Projek penghadang banjir pintar yang diselia oleh Dr. Surya Sumarni Hussein bertindak secara automatik menggunakan teknologi IoT dan berciri kedap air yang boleh meminimumkan kerosakan harta benda yang disebabkan oleh banjir kilat. Seorang penduduk tempatan menyatakan, “Saya gembira jika prototaip ini dapat dilaksanakan di kawasan perumahan kami. Ini pasti akan membantu mengurangkan kerosakan harta benda yang telah kami alami selama ini.”
Aktiviti ini adalah salah satu inisiatif program SULAM 2024 yang bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Pelajar diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan mengetahui bagaimana ilmu yang diperolehi juga dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti tersebut juga menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari Keempat dan Kesebelas, iaitu Pendidikan Berkualiti dan Bandar dan Komuniti Lestari. Ia juga selaras dengan visi Malaysia Madani.