KPPIM UiTM Jalin Kerjasama Antarabangsa melalui Program International Cross-Cultural and Humanitarian 2024

Kisaran, Medan Indonesia, 31 Mei 2024  – Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan program antrabangsa di Indonesia, iaitu International Cross-Cultural and Humanitarian Programme (ICCHP) 2024 yang memfokuskan kepada perkongsian modul, pengalaman dan pertukaran nilai budaya.

Program ini telah dijalankan di Sekolah Tinggi Manajermen Informatika dan Komputer Royal Kisaran (STMIK), Medan, Indonesia. Ia telah disertai oleh 15 orang pelajar KPPIM UiTM, diiringi oleh dua pensyarah kanan KPPIM iaitu Dr Yuzi Mahmud dan Encik Jafalizan Md Jali. 

Pada program ini, sukarelawan KPPIM dan STMIK Royal Kisaran telah melatih pelajar Sekolah Menengah Kejuruan Negeri 2 (SMK N2). Mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan modul iaitu Asas Penguasaan Excel (MATH), Asas Keperluan Multimedia (CS) dan Asas Pencarian Maklumat (IM). Modul-modul ini merupakan salah satu kaedah sukarelawan berkongsi pengetahuan dengan SMK N2 melalui pendekatan pengajaran dan pembelajaran kolaboratif. Ini membolehkan peserta berbincang dan mengambil bahagian dalam modul-modul tersebut serta memberi peluang kepada sukarelawan untuk merasai senario sebenar pertukaran budaya pembelajaran bersama mereka.

ICCHP 2024 adalah salah satu inisiatif yang bertujuan untuk memperkasakan dan berkhidmat kepada komuniti melalui aktiviti sukarelawan. Pelajar diberi peluang untuk menerapkan pengetahuan mereka secara praktikal dan melihat bagaimana pengetahuan yang mereka peroleh dapat memperbaiki taraf hidup komuniti setempat. Aktiviti ini juga menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari Keempat dan Kesebelas, iaitu Pendidikan Berkualiti dan Bandar dan Komuniti Lestari. Ia juga selaras dengan visi Malaysia Madani.

“Traveling – it leaves you speechless, then turns you into a storyteller.” – Ibn Battuta

Penulis : Jafalizan Md Jali, Faiz Nur Rasyiqah Rauqah Mohamad Fadzli, Dr Yuzi Mahmud