KPPIM Lancar Misi Pematuhan Sahsiah Rupa Diri

24 April 2024 – Satu upacara penyerahan lencana penguatkuasa sahsiah rupa diri dan keterampilan pelajar telah diadakan di Makmal Kapersky KPPIM. Majlis yang telah disempurnakan oleh Prof Ts Dr Haryani Haron, Penolong Naib Canselor KPPIM bersama Dekan Hal Ehwal Pelajar ,Encik Mohd Nazrul Mohd Amin bertujuan memastikan sahsiah rupa diri pelajar dipatuhi mengikut Kaedah 6, Jadual Kedua Akta 174 ( Kesalahan Pelanggaran Sahsiah Pelajar UiTM).Selain mendidik dan mencurahkan ilmu , universiti juga berperanan dalam  membimbing mahasiswa agar lebih berketerampilan dalam bidang akademik dan sahsiah rupa diri.

Turut bersama dalam majlis penyerahan ini ialah Ketua Kesejahteraan dan Kebajikan Pelajar, KPPIM iaitu Dr Suzana Ahmad yang juga merupakan Ketua Penguatkuasa dalam misi ini. Seramai 20 orang penguatkuasa yang terdiri dari kakitangan akademik, pentadbiran dan Majlis Perwakilan Pelajar telah dilantik dalam melestarikan pematuhan ini.

Menurut Dr Suzana Ahmad, proses  penguatkuasaan ini dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan mengikut peringkat iaitu pelajar akan ditegur dan diberi amaran serta diberi tempoh untuk memperbetulkan kesalahan, sekiranya tiada maklumbalas dalam tempoh yang diberikan, tindakan lanjut akan dijalankan. Beliau juga menambah, prosedur yang dijalankan ini lebih mesra pelajar dan dijalankan dalam suasana yang santai tetapi tegas. Pada hari yang sama, penguatkuasaan pertama telah dijalankan disekitar Kolej Pengajian dengan lancar.  Misi penguatkuasaan ini akan dijalankan di minggu yang berikut nya di KPPIM, Kampus Puncak Perdana dengan menggunakan pendekatan yang sama.

Diharapkan agar usaha ini berterusan dan para pelajar akan lebih cakna dengan undang-undang yang ditetapkan universiti. Diharapkan agar para pelajar lebih menjaga keterampilan kerana keterampilan yang bersih dan kemas akan memberikan kesan positif kepada ‘first impression.’ Ia juga merupakan elemen penting dalam mempersiapkan pelajar agar tampak lebih kemas, professional dan yakin diri dalam berhadapan dalam apa jua situasi.