Shah Alam, 23 Ogos 2024 – Kelab Pembimbing Rakan Sebaya dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya menganjurkan program Tegas Tangani Gangguan Seksual di Dewan Seminar 1, UiTM Kampus Puncak Perdana pada 11 Mei 2024. Seramai 110 orang pelajar yang telah menghadiri program ini berpeluang mendengar ilmu kesedaran jenayah dan perlindungan dari ASP Norhairolfazidah Chek Ani, petugas di Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Turut hadir ke program adalah Ketua Kepimpinan dan Pembangunan Pelajar KPPIM, Dr. Mohd Nizam Yunus, Koordinator Ketampakan dan Kelestarian dan Penasihat Program, Encik Jafalizan Md Jali, serta Penasihat Kelab Pembimbing Rakan Sebaya, Puan Kasmarini Baharuddin.
Antara intipati program adalah persoalan tahap kesedaran masyarakat kepada gangguan seksual, maksud gangguan seksual itu sendiri dan kategori gangguan seksual serta implikasi kepada mangsa gangguan seksual. Program turut menekankan aspek batasan antara lelaki dan perempuan. Menurut ASP Norhairolfazidah Chek Ani, pergaulan bebas menjadi salah satu punca gangguan seksual, terutamanya jika individu tersebut tidak mempunyai kesedaran dan hormat terhadap individu lain. Dengan ini, program Tegas Tangani Gangguan Seksual mencapai objektif utama iaitu untuk memberikan pemahaman mengenai bahaya pergaulan bebas serta menggalakkan hubungan yang sihat dan beretika antara lelaki dan perempuan.
Penulis: Lidya Ashshafiqa Fredoline, Jafalizan Md. Jali, Kasmarini Baharuddin & KPPIM News Team