UTHM, Batu Pahat, 18 Ogos 2024 – Seramai 122 pelajar UiTM yang merupakan pelatih Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda (PA) di Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-15 Tahun 2024. Istiadat pentauliahan ini telah diadakan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor dengan penuh kemegahan pada 18 Ogos 2024. Ia menjadi kemuncak kepada pelbagai pengisian di penganjuran pada kali ini yang sebenarnya telah bermula semenjak 13 Ogos 2024 lagi yang disertai oleh lebih 20 IPT Awam, IPT Swasta dan Institut Perguruan (IPG).
Jumlah 122 pelajar UiTM penerima watikah pentauliahan ini adalah datang dari UiTM Induk dan Campus Cawangan iaitu dari UiTM Shah Alam seramai 31 orang, UiTM Cawangan Selangor (15 orang), UiTM Cawangan Kelantan (38 orang) dan UiTM Cawangan Pahang (38 orang). Penyertaan mereka dalam majlis ini memperlihatkan UiTM begitu komitmen untuk membangunkan mahasiswanya dengan pelbagai kegiatan dan kemahiran. Ia juga untuk menanamkan sikap patriotisme kepada negara dan menyuburkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
Istiadat pentauliahan ini telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah. Turut mengiringi beliau adalah Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor, Yang Berhormat Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi serta YAS. Datuk KPj. (PA) Aminurrahim bin Mohamed, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Kehadiran TPM, MB Johor, YBM KPT, KPj. APM, ibu bapa dan semua tetamu lain telah menyerikan istiadat pentauliahan ini.
Dalam ucapan dan sewaktu sidang media, YAB. Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan satu inisiatif besar yang akan memberikan manfaat besar kepada pelatih Kor Sispa di seluruh negara. Beliau menyatakan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberikan elaun latihan kepada kadet Kor Sispa sebagaimana yang diterima oleh kadet PALAPES dan Kor Suksis. Pengumuman ini disambut dengan rasa syukur dan teruja oleh semua pihak yang terlibat bagi menghargai pembabitan para pelatih Kor Sispa atas komitmen dan usaha keras mereka. Ia secara langsungnya meringankan beban kewangan sebagai pelajar. Selain itu, YAB. Timbalan Perdana Menteri turut menekankan kepentingan pembekalan baju seragam dan kasut para pelatih Kor Sispa sebagai keutamaan dalam peruntukan tahun 2025.
Kor Sispa UiTM amat berbangga dengan kehadiran PPj. (PA) Profesor Ts. Dr. Norazah Abd Rahman selaku Komandan Kor Sispa UITM apabila djemput untuk berkongsi duduk di pentas bersama kenamaan yang lain. PPj. (PA) Profesor Ts. Dr. Norazah yang merupakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UiTM serta merupakan Pengerusi Majlis Jawatankuasa Pengurusan Kor Sispa IPT dan IPG Peringkat Kebangsaan telah membuktikan komitmen beliau dalam pembangunan mahasiswa.
Kor Sispa UiTM sentiasa komited kepada universiti ini dalam mengukuhkan peranannya sebagai acuan pembangunan diri, kemahiran insaniah dan kepimpinan yang holistik. Pegawai Muda yang sudah ditauliahkan adalah pelajar-pelajar yang ditauliahkan sebagai Pegawai Muda Kor SISPA.
Istiadat ini merupakan kemuncak kepada usaha gigih dan dedikasi pelajar-pelajar tersebut selepas menempuh latihan intensif. Ia adalah usaha yang berterusan untuk mempersiapkan diri dan persediaan masyarakat terhadap bencana dan kecemasan.
Ditulis oleh: Lt. Kol. Bersekutu (PA) Gs. Ts. Dr. Rabiatul Adawiyah Nasir (Ajutan Kor Sispa UiTM Shah Alam), Lt. Kol. Bersekutu (PA) Sr. Dr. Ahmad Shazrin Mohamed Azmi (Timbalan Komandan Kor Sispa UiTM Shah Alam) & Mejar Bersekutu (PA) Noor Afzan Zakaria (Pegawai Pentadbiran Kor Sispa UiTM Shah Alam)