Kor SISPA UiTM menang Platun Terbaik, naib juara Pertandingan Kawad Kaki Kor SISPA 2019

SERDANG, 16 Ogos 2019 –  Seramai 400 anggota Kor Siswa Siswi Petahanan Awam (Kor Sispa) yang terdiri daripada 13 IPT dari seluruh Malaysia telah berkampung di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor bagi menghadiri acara Pertandingan Kemahiran Kor Sispa sempena Majlis Pentauliahan Kor Sispa kali ke-10 tahun 2019 pada 14 Ogos sehingga 18 Ogos.

Dalam acara tahunan ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih sebagai tuan rumah bagi Majlis Pentauliahan Kor Sispa pada kali ini. Majlis ini merupakan pentauliahan kali-10 dianjurkan sejak kali pertama pada tahun 2010.

Pertandingan Kemahiran Kor Sispa ini terdiri daripada empat acara yang dipertandingkan seperti Pertandingan Kawad Kaki, Pengungsian Bangunan, Road Accident Management (RAM) dan SISPA Challenge.

Barisan Kontinjen Kor Sispa UiTM bergambar setelah tamat Majlis Penutupan Pertandingan Kemahiran Kor Sispa di UPM

Kontinjen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah memenangi 3 acara iaitu Pertandingan Kawad Kaki, Pengungsian Bangunan dan SISPA Challenge manakala naib juara bagi acara Road Accident Management (RAM). Ini sekaligus menobatkan kontinjen UMT sebagai juara keseluruhan bagi pertandingan ini. Bagi mereka kejuaraan ini merupakan hasil kerjasama berpasukan untuk menguatkan semangat mereka dan meningkatkan kesungguhan mereka semasa pertandingan berlangsung.

Selain itu, kontinjen dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) juga turut memenangi tempat kedua bagi Pertandingan Kawad Kaki dan sekaligus dipilih Ketua Platun Terbaik bagi acara ini. Selanjutnya, bagi acara RAM pula dimenangi oleh kontinjen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tujuan pertandingan ini diadakan untuk memberikan pendedahan kepada anggota Kor Sispa mengenai Pengurusan Kemalangan Jalan Raya dengan lebih dekat. Dalam acara ini juga peserta diberi senario kes kemalangan yang berlaku kepada mangsa dan mereka perlu memberi rawatan awal kepada mangsa.

Barisan anggota Kor Sispa UiTM setelah tamatnya pertandingan Road Accident Management (RAM).

Pada hari terakhir majlis, seramai 728 pegawai bakal tauliah terdiri daripada PKS Senior seluruh 13 IPT akan menerima pentauliahan mereka pada Majlis Pentauliahan Kor Sispa kali ke-10 pada 18 Ogos ini.

1
0