Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam ( Kor Sispa ) adalah penubuhan kursus badan beruniform di universiti sebagai kursus kokurikulum yang bertujuan untuk memperkasakan kemahiran insaniah di kalangan mahasiswa. Kursus kokurikulum ini merupakan salah satu bahagian dalam penyediaan pendidikan berkualiti di bawah kendalian Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Pahang ( BHEP UCPh) telah meluluskan penubuhan Kor Sispa UCPh ini yang mana ia merupakan salah satu daripada lima Kor Sispa Kampus Cawangan yang menjalankan kursus Kor kokurikulum ini. Kampus – kampus lain yang terlibat dalam Kor Sispa adalah UiTM Shah Alam, UiTM Cawangan Selangor, UiTM Cawangan Kelantan dan UiTM Cawangan Terengganu.
Pengurusan Kor Sispa UCPh ini adalah mengikut model pengurusan sepertimana yang dijalankan di UiTM Shah Alam. Pengurusan tertinggi Kor Sispa UiTM iaitu Komandan adalah di bawah kendalian YBhg Penolong Pensuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah binti Mohd Janor yang juga merupakan Naib Canselor UiTM.
Pengurusan Kor Sispa UCPh pula telah diketuai oleh Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Dr Fauzi bin Azmi yang dilantik sebagai Timbalan Komandan dan dibantu oleh Mejar Bersekutu (PA) Mohd Risham bin Jaafar sebagai Ajutan yang membantu pengurusan Kor Sispa UCPh.
Gerak kerja pengurusan ini dikuatkan lagi dengan kerjasama oleh Mejar Bersekutu (PA) Mohd Rizal bin Razak selaku Pegawai Akademik, Kapten Bersekutu (PA) Khairul Bakri bin Mat Junos sebagai Pegawai Logistik, Kapten Bersekutu (PA) Mohd Izani bin Daud sebagai Pegawai Displin dan Latihan, Leftenan (PA) Sairun Aripin bin Idon sebagai Pegawai Kesukarelawan , Leftenan Bersekutu (PA) Norshashila binti Kalam sebagai Pegawai Pentadbiran dan Staf Muda (PA) Nurul Aziezuliawatie binti Abdullah sebagai Pegawai Penyelaras Kor Sispa UCPh.
Pengurusan ini mendapat sokongan penuh daripada pengurusan BHEP UCPh yang diketuai oleh YBRs Dr. Haji Mohd Kamal Azman Bin Jusoh yang merupakan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar.
Pengurusan Kor Sispa ini sentiasa membantu para mahasiswa yang terlibat di dalam kursus kokurikulum ini yang dikenali sebagai Pegawai Kadet Sispa (PKS) dalam mengikuti kursus -kursus yang telah ditetapkan oleh APM.
PKS perlu penuhi lima kursus sebelum mereka ditauliahkan pangkat sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam iaitu Kursus Asas, Kursus Kemahiran , Kursus Pengurusan Pusat Pemindahan, Kursus Metodologi Kejurulatihan dan Kursus Bakal Pegawai.
Pengurusan Kor Sispa telah melakukan beberapa program untuk para PKS di antaranya ialah Majlis Pentauliahan Kor Sispa UiTM Cawangan Pahang 2021 pada 20 November 2021 secara atas talian yang melibatkan 28 orang PKS yang ditauliahkan sebagai Leftenan Muda (PA).
Manakala, pada 28 Februari 2022 hingga 3 Mac 2022 , pihak pengurusan Kor Sispa UCPh telah mengadakan Kursus Sispa kepada 69 orang PKS yang telah diadakan di UCPh Kampus Jengka.
Penglibatan kakitangan UCPh di dalam pengurusan Kor Sispa ini memenuhi kreteria SDG 17 -Kerjasama Demi Matlamat – Muafakat Membawa Berkat (Sustainable Development Goals -SDG 17 -Sustainable Development Goals ) yang merupakan salah satu daripada 17 matlamat yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Kesimpulannya, pengurusan Kor Sispa UCPh sentiasa membantu BHEP UiTM untuk memastikan para mahasiswa terbabit ini mendapatkan pendidikan yang berkualiti dan meningkat kemahiran insaniah. Nilai tambah yang lain seperti semangat kerja berpasukan, memupuk nilai jati diri dan cintakan kepada tanah air diterapkan dalam diri PKS Kor Sispa akan dapat membantu mereka apabila mereka menempuh dunia pekerjaan dan kehidupan setelah bergraduat nanti.