Konvokesyen KIK UiTM Peringkat Zon Sarawak dan Sabah 2021

KOTA SAMARAHAN : Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah merangkul kemenangan dalam Majlis Penutup Konvokesyen KIK UiTM Peringkat Zon Sarawak dan Sabah 2021 yang telah diadakan secara dalam talian pada 15 September 2021 (Rabu) yang lepas.

Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) ialah sebelumnya dikenali sebagai Kumpulan Mutu Kerja (KMK). KMK telah diamalkan di UiTM sejak 1985 untuk menyelesaikan masalah kerja dan menambahbaikan sistem kerja jabatan serta memberikan peluang kepada warga UiTM menggilap kebolehan dan meningkatkan kompetensi diri.

Kumpulan Vision of Us daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UiTM Cawangan Sarawak Kampus 2 telah menjadi johan sekaligus mendapat Anugerah Dokumentasi Terbaik dan Anugerah KIK Primer Terbaik Inovasi Pengurusan dengan memperkenalkan produk inovasi e-Transko. Kumpulan Coronorms daripada Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah pula telah diumumkan sebagai naib johan dengan memperkenalkan produk e-Coursefile. Inno-squad daripada Fakulti Sains Kesihatan dengan produk Contactless Portable Shield (C.P.S) telah menerima Anugerah KIK Berpotensi, Anugerah Inovasi Terbaik Keseluruhan, Anugerah KIK Primer Terbaik Inovasi Sosial. Anugerah KIK Primer Terbaik Inovasi PnP telah dirangkul oleh kumpulan Ideamaker. Kumpulan tersebut telah menerima hadiah wang tunai, sebuah piala dan sijil anugerah.

Anugerah Fasilitator Terbaik telah dirangkul oleh Encik Muhamad Syukrie bin Haji Abdul Talip sebagai Fasilitator kepada kumpulan Coronorms dan Ideamaker. Puan Frannelya Ak. Francis merupakan Peenang Terbaik dari Kumpulan Inno Squad. Kedua – dua pemenang berkenaan menerima sebuah piala dan sijil anugerah.

 

Tahniah dan syabas diucapkan kepada para pemenang yang telah mengharumkan nama UiTM Cawangan Sarawak di atas kemenangan ini. Diharapkan anugerah ini dapat menjadi lonjakan aspirasi kepada warga UiTM Cawangan Sarawak dalam menghasilkan pelbagai produk inovasi pada masa hadapan.