Konvoi Bermotosikal Misi Kemerdekaan Dan Akademik UiTM Cawangan Sarawak

KOTA SAMARAHAN, 19 September 2020 – Penganjuran Konvoi Misi Kemerdekaan dan Akademik UiTM Cawangan Sarawak oleh Pejabat Polis Bantuan UiTM Cawangan Sarawak sempena sambutan Hari Malaysia ke-57 tahun telah berjaya direalisasikan apabila konvoi telah kembali dengan selamatnya pada 18 September 2020 yang lalu. Konvoi Misi Kemerdekaan dan Akademik UiTM Cawangan Sarawak bermula pada 15 hingga 18 September telah disertai oleh 30 orang kakitangan UiTM Cawangan Sarawak menggunakan motosikal. Konvoi bermula pada 15 September 2020 di UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan dan telah melalui beberapa laluan seperti Asajaya, Sibu, Dalat dan Mukah sebelum kembali ke Samarahan. Sebelum memulakan konvoi ke Dalat, perlepasan peserta konvoi telah disempurnakan oleh Penolong Rektor Kampus Mukah Dr. Khadijah Khalid sambil disertai oleh kakitangan dan pelajar UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah.

Tujuan utama konvoi ini adalah untuk mempromosi dan menyerahkan brosur berkaitan program-program yang ditawarkan di UiTM Cawangan Sarawak kepada pihak sekolah di hentian terpilih. Antara sekolah yang menjadi hentian ialah SMK Asajaya dan SMK Dalat. Tumpuan utama UiTM Cawangan Sarawak ialah untuk menarik lebih ramai pelajar di luar bandar untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi selepas menamatkan SPM dan STPM. Oleh disebabkan COVID-19, pihak UiTM Cawangan Sarawak tidak dapat mengadakan program seperti ceramah dan pameran akademik untuk sekolah yang terlibat. Namun begitu, pegawai daripada UiTM Cawangan Sarawak memberi sedikit penerangan mengenai kehidupan dan cara pembelajaran di universiti kepada pelajar dan guru sekolah menengah yang berminat. Pihak UiTM Cawangan Sarawak turut menyerahkan sumbangan bendera Malaysia dan Sarawak sempena Hari Malaysia ke-57 tahun. Sumbangan bendera tersebut merupakan sumbangan daripada Persatuan Alumni UiTM Sarawak (MITSA).

Antara cabaran yang dihadapi oleh para peserta konvoi ialah laluan jalan raya Pan-Borneo yang masih dalam pembinaan namun itu tidak mematahkan semangat para peserta konvoi untuk tiba di destinasi yang dituju. Selain daripada itu, sepanjang laluan konvoi, para peserta turut singgah di beberapa buah kedai makan untuk mencuba hidangan istimewa yang ditawarkan penduduk tempatan di Asajaya dan Mukah sekali gus membantu sosio-ekonomi tempatan yang terjejas akibat COVID-19. Antara menu istimewa yang dicuba ialah mee udang di pekan Oya.

Program yang julung kali diadakan ini telah dilaksanakan dengan jayanya dan pihak UiTM Cawangan Sarawak berharap agar program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan di lokasi yang lain dan mendapat lebih banyak penyertaan daripada kakitangan UiTM Cawangan Sarawak.