Konvensyen KPSK 2023 “Creativity Unleashed: Navigating the Creative Industries”

Konvensyen Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) 2023 telah berlangsung dengan jayanya pada 15 November 2023, bertempat di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam. Konvensyen kali kedua setelah penubuhan KPSK ini dihadiri oleh semua warga akademik dan pentadbiran KPSK dan dirasmikan oleh Penolong Naib Canselor KPSK, YBhg. Prof. Dr. Shahanum Md. Shah.

Objektif penganjuran Konvensyen KPSK 2023 yang bertemakan, “Creativity Unleashed: Navigating the Creative Industries” antaranya adalah:-
1. Membina sinergi, ukhwah dan keserakanan di kalangan warga akademik dan pentadbiran KPSK UiTM,
2. Memberi kefahaman dan kesedaran kepada warga KPSK UiTM mengenai halatuju pengoperasian Kolej Pengajian setelah beroperasi selama hampir 2 tahun,
3. Perjumpaan dan sesi ramah mesra di antara pihak pengurusan bersama semua warga KPSK setelah penggabungan 3 fakulti menjadi Kolej Pengajian Seni Kreatif,
4. Meningkatkan “happiness index” di kalangan warga KPSK UiTM,
5. Merangka halatuju “creative arts” hasil dari resolusi yang diperolehi pada konvensyen pertama ke arah “globally renown creative arts university”.

Bagi menyemarakkan semangat warga KPSK ke arah objektif-objektif tersebut, tiga (3) orang pengucaptama telah diundang untuk mengulas topik semasa berkenaan penjenamaan, pembudayaan ekonomi digital dan komponen kelestarian di dalam bidang seni kreatif. Para pengucaptama tersebut adalah:-

1. Prof. Dr. M. Suyanto, M.M
Rektor, Universitas AMIKOM Yogyakarta, Indonesia
Topik: “Cultural Economics”

2. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin
Mantan Naib Canselor, UCYP (University College of Yayasan Pahang)
Topik: “Environmental, Social and Corporate Governance (ESG) and Sustainable Creative Industry”

3. Pn. Izan Satrina Mohd Sallehuddin
Senior Director
Partnerships and Creative Sector, ThinkCity Malaysia
Topik: “Think City”

Konvensyen ini digulung dengan sesi forum yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Rithaudin, Pensyarah Kanan KPSK, yang mana membahaskan soalan-soalan dari warga KPSK yang diberikan melalui pautan pigeonhole tiga (3) hari sebelum konvensyen bermula. Disiarkan secara langsung menerusi CCA Official YouTube Channel untuk tontonan warga KPSK di kampus-kampus cawangan, majlis ini turut diwarnai dengan kehadiran Puan Vanidah Imran selaku pengacara majlis setelah perlantikan beliau sebagai Sarjana Kreatif KPSK, pada Oktober 2023.

Sepanjang konvensyen ini, pelbagai video ditayangkan untuk tontonan para hadirin; antaranya filem pendek the Battle of Surabaya dan dua lagi klip pendek oleh Prof. Dr. M. Suyanto, M.M; video penjenamaan Georgetown pada tahun 2014 oleh Think City dan video korporat Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Shah Alam, yang mana dilancarkan secara rasminya bagi penjenamaan KPSK bagi tiga tahun mendatang.

KPSK berhadapan dengan cabaran sistem governans yang efektif memandangkan pengoperasiannya yang melibatkan lima (5) premis di Selangor dan enam (6) di kampus-kampus cawangan. Konvensyen seumpama ini memangkin usaha pengoptimuman momentum di dalam memastikan kecemerlangan KPSK ke arah sebuah Kolej Pengajian yang berdaya saing, relevan dan “versatile” dalam menyahut seruan UiTM ke arah “Globally Renowned University” pada 2025.

Tonton Konvensyen KPSK 2023 di sini https://www.youtube.com/live/uTdJkc1Ti04?si=elJs2n6IHudGaNYq