Bandar Seri Begawan, 7 Jun 2024 – Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-XV yang berlangsung pada 5 hingga 6 Jun 2024 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Brunei Darussalam telah mencatatkan kejayaan cemerlang sebagai platform yang sangat signifikan bagi perkongsian ilmu, penyelidikan, dan kolaborasi serantau. Konferensi ini dianjurkan dengan kerjasama antara Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dan UiTM Cawangan Sabah, serta beberapa institusi pendidikan tinggi yang lain dari seluruh rantau Borneo.
Konferensi ini dirasmikan dengan penuh istiadat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Dalam titah baginda, Sultan Haji Hassanal Bolkiah menegaskan kepentingan ilmu pengetahuan dalam membentuk masyarakat yang berakhlak dan berintegriti, serta peranan pendidikan Islam dalam memperkasa umat sejagat.
Penganjuran konferensi ini menonjolkan dedikasi tinggi universiti-universiti terlibat, khususnya UiTM Cawangan Sarawak dan UiTM Cawangan Sabah, yang telah bersama-sama menyumbang kepada kejayaan acara ini. UiTM, melalui sokongan padu dari barisan pengurusan tertinggi termasuk Datuk Hj Abdul Wahab Aziz (Pro-Canselor), Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose (Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti), serta Datuk Profesor Dr Shahrin Sahib (Naib Canselor Universiti Teknologi MARA), Professor Dato Dr. Jamil bin Haji Hamali (Rektor UiTM Sarawak), serta Profesor Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed (Rektor UiTM Sabah) telah menampilkan sinergi antarabangsa yang luar biasa.
Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-XV juga menyaksikan pelbagai pembentangan kertas kerja yang merangkumi topik-topik penting seperti peranan Islam dalam era globalisasi, pembangunan sosio-ekonomi berteraskan Islam, serta isu-isu kontemporari yang dihadapi oleh umat Islam di rantau ini. Melalui diskusi yang mendalam dan pertukaran idea yang produktif, para peserta konferensi berpeluang untuk memperluas jaringan kerjasama akademik serta memperkukuh hubungan antara institusi-institusi pengajian tinggi di Borneo.
Kejayaan penganjuran Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-XV ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Brunei Darussalam sebagai pusat intelektual Islam serantau, tetapi juga memperlihatkan betapa pentingnya kolaborasi antara universiti-universiti di Borneo dalam usaha memajukan pendidikan Islam dan memperkasakan masyarakat melalui ilmu pengetahuan. Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya kepada pasukan UiTM atas pengiktirafan dan sumbangan yang signifikan dalam menjayakan konferensi bertaraf antarabangsa ini.