Komuniti Lestari Fokus Utama UiTM Cawangan Pahang

 

Kesejahteraan atau kelestarian komuniti merupakan salah satu daripada 17 matlamat SDG 2030. Komuniti yang sejahtera merupakan kelompok masyarakat yang dapat meneruskan kelangsungan hidupnya dalam suasana yang selamat dan selesa. Justeru itu,  hal ini menuntut kepada perlunya setiap rakyat untuk memiliki kediaman yang selesa dan mampu dimiliki. Kelestarian komuniti  juga berkait dengan kesihatan, kesejahteraan dan keselesaan. Pembangunan yang direncana oleh kerajaan seharusnya tidak mengabaikan keperluan atau kesejahteraan komuniti setempat.

Bagi menyahut tanggungjawab tersebut, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang Kampus Jengka telah menyediakan kemudahan infrastruktur perumahan bagi staf yang berkhidmat di Kampus Jengka. Taman Universiti UiTM Kampus Jengka dibina atas inisiatif pihak pengurusan untuk kemudahan staf yang berada di luar kawasan dan memberi peluang kepada meraka untuk mendiami Taman Universiti UiTM mengikut kekosongan rumah yang ada memandangkan ketika itu perumahan di kawasan Bandar Jengka adalah terhad. Jumlah rumah yang terdapat di Taman Universiti UiTM adalah sebanyak 97 unit rumah dan 14 unit rumah di kawasan Taman Permatang Shah Bandar. Bagi kawasan Taman Perumahan (UiTM) terbahagi kepada tiga (3) blok kawasan iaitu Blok A, Blok B dan Blok C. Kadar sewaan bagi setiap rumah ditetapkan adalah mengikut keluasan bagi setiap buah rumah sebagaimana yang telah diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Pembangunan (JKP).

Selain itu, di kawasan Taman Universiti UiTM juga terdapat kemudahan fasiliti iaitu Surau Al-Hidayah bagi menghimpunkan penduduk untuk menjalankan ibadah solat, aktiviti keagamaan dan aktiviti Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) yang melibatkan semua penduduk taman universiti. Semua aktiviti yang dijalankan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara penduduk Taman Universiti UiTM Cawangan Pahang.

Terdapat beberapa buah rumah yang telah bertukar status sebagai Taska dan Rumah Transit. Sebanyak dua unit rumah di Blok A telah disewakan sebagai taska bagi memudahkan urusan staf yang bekerja untuk menghantar anak mereka ke pusat penjagaan tersebut dan satu unit rumah di Blok B iaitu B1/05 dijadikan sebagai rumah transit bagi kemudahan pensyarah yang memerlukan. Kawasan Taman Perumahan Universiti UiTM yang telah dibina sejak sekian lama masih lagi memberi manfaat kemudahan staf yang mendiami taman tersebut. Penduduk Taman Perumahan Universiti juga turut melakukan aktiviti-aktiviti riadah dan gotong royong bagi mengekalkan keceriaan kawasan Taman Universiti UiTM di samping mengeratkan silaturrahim antara penduduk.

Pusat penjagaan kanak-kanak amat penting diwujudkan di setiap organisasi kerana ia merupakan perkhidmatan sokongan kepada staf. UiTM Cawangan Pahang tidak ketinggalan dalam menyediakan perkhidmatan ini dengan mewujudkan Pusat Jagaan Kanak-kanak bagi memenuhi keperluan staf yang telah berkeluarga. Namun demikian, pada tahun 2017, taska ini telah diswastakan dan pihak pengurusan Taska Al-Insyirah telah mengambilalih Taska UiTM dengan menyewa dua unit rumah di Taman Perumahan UiTM bagi menjaga anak-anak staf dan menambahbaik tahap pendidikan awal kanak-kanak dengan memberi persekitaran yang kondusif bagi merangsang perkembangan optimum kanak-kanak. Taska ini menerima kanak-kanak yang masih bayi hingga berumur 6 tahun dan juga menyediakan perkhidmatan “transit” kepada ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak setelah tamat waktu persekolahan. Pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memberi pendedahan kepada kanak-kanak di bawah jagaan pihak taska. Antaranya ialah sambutan hari kemerdekaan dan kursus haji cilik.

Tabika Perpaduan UiTM Cawangan Pahang di bawah seliaan Kementerian Perpaduan Negara & Integriti Nasional diwujudkan bagi menyediakan pendidikan awal kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun untuk membolehkan mereka menghayati nilai-nilai perpaduan, hidup bermasyarakat serta persediaan ke alam persekolahan kelak. Taska ini mempunyai dua orang tenaga pengajar wanita yang bertugas mengajar kanak-kanak ini. Antara aktiviti yang disediakan ialah kelas Fardhu Ain/Iqra, kelas bahasa Inggeris dan lawatan pendidikan. Taska Al-Insyirah dan Tabika Perpaduan UiTM Cawangan Pahang masih lagi beroperasi sehingga kini bagi kemudahan staf UiTM. Namun demikian, tabika ini juga terbuka kepada masyarakat setempat. Dengan adanya perkhidmatan ini, ia selari dengan matlamat pembangunan lestari iaitu SDG-5 kesaksamaan jantina dalam memperkasakan wanita dan kanak-kanak.