PERMATANG PAUH, PULAU PINANG, 18 Januari 2025 – Masjid Batu di Kampung Pertama kini lebih terang benderang dengan pemasangan sembilan unit lampu solar PV hasil kerjasama Pengajian Kejuruteraan Elektrik (PKE) UiTM Cawangan Pulau Pinang dan Yayasan Amal Cawangan Pulau Pinang. Projek ini menggantikan penggunaan elektrik konvensional dengan tenaga solar yang lebih lestari.
Lebih 40 peserta, termasuk lapan staf akademik, sembilan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (CEEE200), ahli qariah, dan NGO, terlibat dalam projek yang diketuai oleh PM Ir. Dr. Mohd Najib Mohd Hussain. Tujuh unit lampu jalan dan dua unit lampu limpah solar berkuasa 200W telah dipasang di lokasi strategik di sekitar masjid, termasuk kawasan parkir dan tanah perkuburan.
Projek ini bukan sahaja menaik taraf fasiliti masjid tanpa meningkatkan kos elektrik, malah meningkatkan kesedaran komuniti tentang manfaat tenaga solar dan inisiatif hijau, serta memupuk semangat kesukarelawan. Ia juga menyumbang kepada penarafan Petunjuk Prestasi (PI076, PI077, PI078, dan PI079) UiTM Cawangan Pulau Pinang dan Sasaran Pembangunan Lestari (SDG) 7: Tenaga Bersih dan Mampu Milik.
Penulis : Norsabrina Sihab, Nur Sa’adah Muhamad Sauki, Azwati Azmin, PM Ir. Dr. Mohd Najib Mohd Hussain