Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC 2024): Kontinjen UiTM Bersedia Mengharungi Cabaran

2 – 7 September 2024 – Sekitar Hari Pertama (2 September 2024), Kontinjen UiTM memulakan cabaran KKEC 2024 di UiTM Cawangan Terengganu dengan semangat yang berkobar-kobar. Program ini dianjurkan oleh Pusat Kokurikulum UiTM, dengan kerjasama urus setia dari HEP UiTM Cawangan Terengganu, sebagai penganjur utama. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Pengarah Pusat Kokurikulum menyampaikan komitmen dan harapan beliau agar setiap peserta terus maju dan berjaya dalam setiap cabaran yang mendatang.

Mengimbau semangat perjuangan para pahlawan, beliau menegaskan, “Bersama kita melangkah, mengharungi setiap cabaran dengan tekad yang membara. Biar rebah, jangan menyerah. Biar kalah, jangan hilang maruah.” Semangat juang ini dijadikan inspirasi kepada semua kontinjen KKEC dari seluruh UiTM, dengan harapan usaha dan doa yang dipanjatkan menjadi pemangkin kejayaan cemerlang.

Menurut YBhg. Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, TNC HEP UiTM, para peserta telah mempamerkan disiplin, dedikasi, dan kemahiran luar biasa, membuktikan bahawa dengan usaha gigih, kejayaan pasti dapat dicapai. Walaupun ada di antara mereka yang bermula tanpa pengalaman di KKEC, latihan intensif yang dilalui telah membuahkan hasil yang mengagumkan. Ini bukan sahaja mencerminkan kemenjadian pelajar, tetapi juga kejayaan UiTM dalam memupuk bakat serta menyediakan pengalaman berharga untuk masa depan mereka.

Ucapan penghargaan khusus diberikan kepada Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Profesor Ts. Dr. Mazidah Puteh; Timbalan Rektor HEP UiTM Terengganu, Ts. Dr. Ermeey Abd. Kadir; serta seluruh warga UiTM Terengganu atas sokongan padu mereka sepanjang KKEC 2024. Semoga sinergi ini terus memperkukuh misi UiTM dalam melahirkan graduan bumiputera yang profesional dan tangkas, serta memastikan UiTM kekal sebagai destinasi pendidikan tinggi pilihan.

Penulis Utama:

Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Profesor Dr. Hj. Mohd. Sazili Shahibi

 

Penulis Bersama:

 Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman, Dr Basharuddin Abdul Hadi, Dr Alwi Mohd Yunus