SHAH ALAM, 23 JUN 2023 – Pusat Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) telah menganjurkan pertandingan kebudayaan antara kolej pengajian dan fakulti yang dikenali sebagai WIRASA dari 13 hingga 18 Jun 2023 bertempat di UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Selangor. WIRASA 2023 ini merupakan penganjuran kali ketujuh diadakan dan dianjurkan semula setelah tiga tahun negara dilanda pandemik COVID-19. WIRASA merupakan sebuah program pertandingan kesenian dan kebudayaan bagi mencari bakat-bakat dalam kalangan mahasiswa UiTM di samping memberi galakan kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti berbentuk kemahiran insaniah seperti ini.
Objektif utama program ini adalah untuk menjadi pemangkin penglibatan pelajar dan staf dalam industri kreatif dalam dan luar negara melalui perkongsian kepakaran pemain industri di samping mengembalikan kesinambungan seni dan budaya bangsa di UiTM. Selain itu, penganjuran program WIRASA ini juga dapat melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif dalam pengembangan bakat dan nilai pelajar. Secara tidak langsung, UiTM juga mampu mencari wakil pelajarnya untuk ke festival atau pertandingan kebudayaan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Antara pertandingan yang telah dianjurkan dalam WIRASA kali ini ialah pertandingan nasyid, nyanyian solo lagu melayu asli, sayembara puisi, pertandingan tarian rampaian tradisional dan banyak lagi. Semua pertandingan ini telah mendapat sambutan yang amat baik apabila 19 kolej pengajian dan fakulti telah mengambil bahagian dalam setiap program yang telah dianjurkan ini. YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM menerusi ucapannya berkata, “dengan adanya program-program seperti ini, diharap dapat merancakkan lagi penglibatan mahasiswa dalam industri dalam dan luar negara sekali gus dapat menjayakan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan global.”
Secara keseluruhannya, WIRASA UiTM 2023 telah dijuarai oleh Kolej Pengajian Seni Kreatif dengan kemenangan johan bagi kategori nasyid, monolog, nyanyian lagu asli dan apresiasi seni dan naib johan bagi acara tarian rampaian tradisional dan band serta tempat ketiga dan beberapa anugerah khas yang lain. Anugerah pengurusan acara terbaik telah dimenangi oleh penganjur pertandingan sayembara puisi iaitu Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media dan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media.