SHAH ALAM, 2 Disember 2024 – Menyahut aspirasi UiTM sebagai sebuah universiti ‘Globally Renowned University’, Kolej Kediaman Melati, UiTM Shah Alam, tampil dengan inisiatif proaktif dan kreatif dalam membentuk ekosistem keusahawanan mampan di kalangan pelajar. Program-program yang dirangka bukan sahaja berimpak tinggi, malah memberikan pengalaman bermakna kepada pelajar untuk menjana pendapatan sambil memupuk nilai-nilai keusahawanan dalam suasana yang selamat dan kondusif.
Antara program yang berimpak tinggi yang telah dianjurkan ialah Chillz@Melati, satu platform keusahawanan yang beroperasi menjual makanan dan minuman bermula jam 7.30 pagi hingga 7.30 petang sepanjang semester. Dianjurkan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK), Chillz@Melati menjadi payung kepada lima program keusahawanan utama iaitu Pendaftaran Pelajar, Riverbank, Festival of Flavours, Mecha Makan Fest, dan Perniagaan Air. Dengan penyertaan lebih 3,000 individu merangkumi pelajar, kakitangan, serta komuniti luar, program ini berjaya menjana pendapatan sebanyak RM23,684.
Lebih penting lagi, Chillz@Melati selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2: ‘Zero Hunger’, dengan menyediakan makanan berkhasiat dan mampu milik kepada pelajar. Ini bukan sahaja membantu menangani masalah kelaparan di kalangan pelajar, malah memastikan mereka mendapat tenaga dan fokus optimum untuk pembelajaran. Pendekatan ini membuktikan komitmen Kolej Kediaman Melati dalam mengutamakan kesejahteraan pelajar.
Satu lagi inisiatif cemerlang ialah Cinematic Soirée @ Melati, yang telah dianjurkan sebanyak sembilan kali sepanjang tahun 2024, melibatkan penyertaan seramai 5,478 orang. Program yang merupakan tayangan filem-filem menarik ini mencipta platform untuk pelajar menjalin hubungan sosial dalam persekitaran yang santai, selamat, dan bebas daripada unsur negatif. Lebih menarik, Exco Keusahawanan memperkenalkan model perniagaan ‘Button Badge’, di mana pembelian lencana ini membolehkan pelajar menyertai program tanpa bayaran tambahan. Jumlah pendapatan yang berjaya dijana adalah sebanyak RM17,757.
Program ini memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: ‘Good Health and Well-being’, dengan memberi penekanan kepada keseimbangan kesihatan fizikal dan mental. Di samping menikmati hiburan yang berkualiti, pelajar dapat meluangkan masa untuk berehat dan berinteraksi secara positif, sekali gus mengurangkan tekanan akademik dan mempromosikan gaya hidup sihat.
Ekosistem keusahawanan yang dibangunkan Kolej Kediaman Melati bukan sahaja menjana pendapatan, tetapi turut berfungsi sebagai ruang pembelajaran pengalaman (experiential learning) bagi pelajar. Para usahawan muda berdaftar di kolej ini berpeluang mengasah kemahiran perniagaan dalam suasana sebenar, manakala hasil pendapatan dimanfaatkan untuk pelbagai program pengantarabangsaan.
Transformasi yang dibawa oleh Kolej Kediaman Melati membuktikan bahawa keusahawanan bukan sekadar aktiviti ekonomi, tetapi satu perjalanan membentuk generasi pelajar yang kreatif, berdikari, dan berdaya tahan. Dengan kejayaan program-program ini, Kolej Kediaman Melati mengorak langkah menjadi model contoh ekosistem keusahawanan mampan yang harus dicontohi oleh kolej kediaman lain di Malaysia.
Dengan momentum ini, Kolej Kediaman Melati terus komited untuk membawa pembaharuan yang menyokong pembangunan holistik pelajar UiTM, sejajar dengan matlamat universiti untuk melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global.
Penulis : Suzana Zambri dan Raja Mohamad Fikri Raja Azman