Kolej Delima ke Misi Jejak Genom Diaspora antara Nilai Kehidupan dan Kemanusiaan di Yala, Thailand

Kolej Delima dalam Misi Jejak Genom Diaspora antara Nilai Kehidupan dan Kemanusiaan

Yala, Selatan Thailand – Pergolakan yang berlaku di wilayah selatan Thailand, Yala tidak mematahkan semangat 13 orang mahasiwa Universiti Teknologi MARA (UiTM) dari Kolej Kediaman Delima yang terdiri dari pelbagai latar belakang akademik dan fakulti dalam misi untuk menyampaikan satu titik permulaan dalam usaha menyampaikan ilmu yang baharu untuk dipelajari oleh mahasiswa Yala Rajabhat Universiti, Thailand dan salah satu intipati nilai kemanusiaan diterapkan dalam misi kesukarelawanan bersama penduduk kampung islam di pendalaman selatan Yala, Thailand.

Misi yang diadakan ini berlangsung selama 3 hari 2 malam yang bermula pada 27 September 2019 sehingga 29 September 2019 ini mendapat sambutan dan galakan yang baik oleh Yang Berbahagia Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA, Profesor Dr. Azizan Abdullah.

Sesi pembentangan dan bertukar pandangan dua hala antara Yala Rajabhat Universiti dan Universiti Teknologi MARA diteruskan dengan memperkenalkan modul yang disediakan dan antara modul yang dipersembahkan kepada mahasiswa di sana adalah modul Pantun, Sajak, Pertukaran Bahasa (Jawi – English – Bahasa Malaysia) dan modul Pertukaran Bahasa (Bahasa Melayu – Thailand – English). Mahasiswa di YRU menunjukkan minat yang tinggi terhadap modul yang dipersembahkan kepada mereka.

Matlamat utama adalah untuk memperkenalkan nilai keunikan bahasa itu sendiri dengan cara yang mudah dan betul dan tidak hanya melalui percakapan seharian sahaja. Cara dan pendekatan yang digunakan mungkin berbeza dengan sistem yang biasa digunakan oleh Pendidikan di Malaysia.

Peserta dari Universiti Teknologi MARA menyatakan bahawa perkongsian ilmu antara dua Universiti lebih membuka mata dan minda bahawa di setiap tempat tidak kira pendalaman atau di tengah bandar ada nilai keunikan yang ditunjukkan.

“Saya tidak meyangka bahawa hari ini saya akan mempelajari benda baharu iaitu cara berpantun, bersajak dengan betul. Saya dan rakan dapat membina satu rangkap pantun dan akan mencuba lagi! “– Suraiya Hamalong, Pelajar Jurusan Pendidikan Bahasa Melayu, Yala Rajabhat Universiti, Thailand.

Misi penaklukan ini tidak terhenti di arena akademik tetapi diteruskan dengan membawa satu misi penuh gentar dengan melalui rintangan pemeriksaan keselamatan oleh pasukan keselamatan Thailand di setiap Kawasan yang dilalui. Tidak sesekali mematahkan semangat tinggi para mahasiswa Universiti Teknologi MARA untuk meneruskan misi kesukarelawanan dengan perjalanan selama dua jam untuk sampai ke sebuah Kawasan pendalaman perkampungan islam yang kurang mendapat perhatian terutama dari segi kemudahan untuk beribadah.

Mahasiswa dengan kerjasama penduduk kampung islam Ban Phan, Yala, Thailand mengadakan jamuan makan kecil-kecilan untuk meraikan penduduk kampung yang turut hadir sama untuk bergotong-royong menyediakan juadah untuk semua yang hadir pada hari tersebut. Tidak dapat dinafikan kepakaran penduduk kampung dalam masakan sangat mengagumkan kami semua sehingga ada mahasiswa yang minta untuk dibekalkan makanan untuk dibawa pulang ke hotel.

Misi kali ini menfokuskan untuk sedikit menyebarkan nilai dakwah islam ke kawasan perkampungan islam yang tidak mendapat dana dari pihak berwajib dan di biarkan tanpa pengawasan dan penjagaan yang baik. Menjadi salah satu usaha penduduk kampung yang beragama islam untuk mengimarahkan surau yang menjadi salah satu tempat untuk mereka beribadah dengan aman dan selesa.

“Program ini tidak akan terhenti disini. Saya akan berusaha untuk memastikan khidmat bakti ini diteruskan sehingga penduduk dikawasan ini mendapat hak sebagai muslim dan seorang manusia dengan sempurna kerana kita adalah sama-sama serumpun “ – Mohamad Azmi Bin Adnan, Pengetua Kolej Kediaman Delima, Universiti Teknologi MARA

Mahasiswa seramai 13 orang meneruskan khidmat bakti masayarakat dengan membina satu sudut membaca untuk kemudahan kepada anak-anak kecil penduduk di Kawasan tersebut. Sudut bacaan tersebut juga turut ditambah dengan bahan bacaan dan buku aktiviti serta turut disumbangkan sebanyak 6 buah naskah Al-quran dan Iqra’ untuk digunapakai anak-anak kecil atau masyarakat dewasa bagi aktiviti keagamaan di surau berkenaan.

Setelah separuh proses pembinaan sudut bacaan di ruang surau terbabit sedikit menyentuh perasaan mahasiswa adalah apabila anak-anak kecil kelihatan teruja dan mereka terus duduk bersimpuh dan membaca tanpa henti sambal menunjukkan bakat mereka membaca kepada mahasiswa. Mereka sangat menghargai dan berterima kasih dengan usaha yang dilakukan oleh para mahasiswa UiTM.

Sewaktu tempuh pelaksanaan sudut bacaan terbabit, turut sama diadakan aktiviti mengecat luar dinding ruang bacaan terbabit kerana factor ruang bacaan berkenaan yang tidak sempurna dan hanya mempunyai papan yang dijadikan dinding.

Dengan kepakaran dan kemahiran beberapa orang mahasiswa UiTM dengan bekalan cat yang terhad, mahasiswa berhasil dengan mengecat dinding dan memperlihatkan pembaharuan kepada struktur binaan terbabit walaupun dengan bekalan cat yang terhad. Satu sumbangan besar dan berpanjangan dapat diperlihatkan oleh mahasiswa UiTM dengan pembaharuan dan penambahan yang dilakukan bersama.

Objektif program ini tercapai sepenuhnya apabila misi dan objektif mahasiwa dari Kolej Kediaman Delima, Univerisiti Teknologi MARA dapat menaburkan nilai bakti dan keringat peluh bagi menghasilkan suatu pembaharuan yang dapat dilihat dalam tempoh yang panjang.

Dengan pembinaan sudut bacaan ini dapat meninggalkan satu nilai bahawa ilmu itu adalah celik kepada kehidupan kerana ilmu adalah penyuluh kehidupan. Sifat kesukarelawanan juga diterapkan kepada semua mahasiswa terlibat bahawa tidak mengira agama, bangsa mahupun warna kulit seharusnya membantu secara insaniah dalam melahirkan mahasiswa yang intelektual dan mempunyai nilai soft-skill yang tinggi.

0
0