Kolaborasi Pintar UiTM Dengan Usahasama Malaysian Occupational Scaffolding Association (MOSA) Dan MKRS Bumi Sdn. Bhd.

 

SHAH ALAM, 11 April 2023 – Satu kolaborasi pintar antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan Malaysian Occupational Scaffolding Association dan MKRS Bumi Sdn Bhd dicetuskan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini.

UiTM melalui Pejabat Jaringan Industri, Alumni dan Komuniti (ICAN), Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) telah memeterai kerjasama pintar yang bertujuan untuk meningkatkan kepakaran dan perkongsian ilmu, pembangunan produk penyelidikan kepada para pensyarah dan kakitangan Malaysian Occupational Scaffolding Association dan MKRS Bumi Sdn Bhd dalam bidang Kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik, kejuruteraan mekanikal dan kejuruteraan kimia.
Kolaborasi ini menawarkan pelbagai inisiatif yang melibatkan rangkaian penyelidikan dan pembangunan modal insan, perkhidmatan ujikaji sistem dan produk di makmal dan lapangan, perkongsian kemudahan peralatan dan maklumat, penempatan pensyarah atau pelajar bagi tujuan latihan industri, peningkatan kaedah pembelajaran serta perkhidmatan latihan pembangunan bagi pensyarah dan kakitangan Malaysian Occupational Scaffolding Association dan MKRS Bumi Sdn Bhd.

Pemeteraian memorandum telah ditandatangani oleh YBhg. Prof. Dr. Hamidah Mohd Saman, Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Kejuruteraan, bersama YBhg. Dato’ Dr Saravanan Karrupayah Pengurusi Malaysian Occupational Scaffolding Association dan Ybhg Dato’ Mohamad Ridza Bin Illias Pengarah Eksekutif MKRS Bumi Sdn Bhd, dengan disaksikan oleh YBhg. Prof. Dr Ayub Md Som, Dekan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni Kolej Pengajian Kejuruteraan dan YBhg Sr. Nazir Muhamad Nor Pengurus Besar Bahagian Standard & Bahan Binaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Malaysia.

Terdahulu YBhg. Prof. Dr. Hamidah Mohd Saman dalam ucapannya berkata, “Kerjasama erat antara UiTM dan Malaysian Occupational Scaffolding Association dan MKRS Bumi Sdn Bhd akan membawa pelbagai solusi alternatif kepada agenda Pelan Pembangunan Negara dalam aspek pendidikan, kejuruteraan dan keselamatan, disamping perkongsian pintar dengan pendekatan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Dengan termeterainya memorandum ini dilihat akan merancakkan lagi kerjasama dari segi perkongsian kepakaran dalam bidang pengajaran dan inovasi serta pelaksanaan aktiviti bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru, komitmen padu daripada semua pihak akan menghasilkan lebih banyak lanjutan kerjasama berkualiti dalam bidang berimpak tinggi terutamanya dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.