PASIR GUDANG, 19 Jun 2023 – Pada 18 Jun 2023, seramai 75 orang pelajar Pengajian Kejuruteraan Kimia dari Kolej Pengajian Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bersama-sama dengan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) telah berjaya menganjurkan program “Redefining The Ecosystem” di SMK Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. Program yang dijayakan bersama 86 pelajar aliran sains, sains komputer dan ahli kelab alam sekitar itu berfokus kepada menyuntik kesedaran mencintai sungai dan alam sekitar dalam diri peserta. Program ini juga melatih para peserta untuk mengaplikasikan konsep-konsep STEM dalam kehidupan seharian.
Program yang berlangsung selama satu hari ini diiringi oleh Pn Siti Norazian dari UiTM Shah Alam selaku pegawai pengiring telah bekerjasama dengan pihak MBPG untuk inisiatif pembuatan “mudball” sebagai salah satu langkah untuk memulihkan sumber air yang tercemar. Lebih 850 biji “mudball” berjaya dihasilkan oleh peserta program dan diserahkan kepada pihak MBPG. “Mudball” yang dihasilkan oleh peserta program ini bakal digunakan oleh pihak MBPG untuk memulihkan kawasan tasik atau sungai yang tercemar.
Program ini juga menjalankan program berbentuk “explorace” di mana para peserta perlu menggunakan kefahaman dalam bidang sains dan matematik untuk menyelesaikan masalah yang diberikan. Disamping itu, masalah yang diberikan juga bertujuan untuk melatih peserta untuk berkomunikasi dengan baik, bekerja dalam kumpulan, dan juga berfikir secara kreatif dalam bidang sains.
Program yang dijanakan oleh pelajar UiTM ini adalah selaras dengan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi, “Program Service-Learning Malaysia – Universiti For Society” (SULAM) yang menggalakkan pelajar institusi pendidikan tinggi untuk turut sama bertinteraksi dengan komuniti untuk menyampaikan sedikit sebanyak ilmu yang mereka pelajari di universiti kepada masyarakat setempat.
Menurut pengarah program saudara Muhammad Syaraf Bin Mohammad, dalam ucapannya “program hari ini juga digarap rapi oleh pihak penganjur agar para peserta boleh mengasah kemahiran berfikir secara kreatif dalam menginterpretasi konsep asas sains yang dipelajari dan kehidupan seharian.” Katanya lagi “kami juga berharap agar acara yang disusun dapat menerapkan nilai tambah kepada peserta.”
Menurut penasihat program, Professor Madya Ir Dr Zulkifli Abdul Rashid ketika ditanya berkenaan impak program ini, beliau menjelaskan bahawa program ini membawa pendekatan penglibatan dan kerjasama komuniti, pemindahan pengetahuan dan juga aplikasi praktikal pengetahuan akademik. Tambahan pula, pelajar universiti yang bertindak sebagai mentor dan teladan dapat berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka dengan pelajar yang lebih muda. Program seperti ini ini dapat menggalakkan pertumbuhan peribadi, pembangunan kemahiran, dan kemajuan akademik di kalangan pelajar sekolah menengah. Beliau juga berharap program ini dapat memberi inspirasi dan memupuk pemimpin masa depan di peringkat yang lebih awal.
Program yang tamat sekitar jam 5 petang ini turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi SMK Taman Pasir Putih. Pada ucapan pengetua sekolah, yang berusaha Pn Hajah Wan Bidah binti Wan Salleh, beliau menyokong program ini dijalankan untuk memupuk semangat cintakan alam sekitar sesuai dengan konsep sekolah lestari yang dijalankan di sekolah tersebut. Tambahan pula, pihak sekolah SMK Taman Pasir Putih turut menyertai pertandingan program kelestarian antara sekolah. Secara tak langsung program ini dapat mengalakkan lagi lebih banyak agensi luar untuk bersama – sama dalam usaha meningkatkan usaha – usaha kelestarian di peringkat sekolah ini.
Pelbagai reaksi positif dari peserta program juga turut dicatatkan. Nur Qarreen Alisha menyifatkan program ini amat menyeronokkan membuatkan beliau lebih minat untuk mengetahui lebih banyak lagi mengenai bidang ini selepas tamat sekolah. Manakala, Muhammad Ikhwan Nurhaikal Bin Shah Rizal pula berpendapat bahawa program ini wajar diteruskan dengan pelajar yang tidak dapat turut sama hadir ke program ini agar peserta tersebut dapat merasai pengalaman belajar dalam keadaan yang menyeronokkan.